Read Time:1 Minute, 51 Second
SEPANG: Max Verstappen menamatkan kemarau kemenangan musim ini dengan penuh bergaya apabila juara dunia empat kali itu menguasai perlumbaan penuh dramatik untuk muncul juara Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), petang tadi.
Pelumba Red Bull Racing itu mempamerkan ketenangan dan kemahiran tinggi dalam mengendalikan jentera ketika berdepan permukaan litar basah, sebelum mengekalkan kedudukannya sehingga melintasi garisan penamat di hadapan pencabar terdekatnya, Andrea Kimi Antonelli daripada Mercedes.
Verstappen yang bermula dari petak utama tidak mensia-siakan kelebihan berkenaan apabila terus mengawal perlumbaan sebaik lampu hijau menyala, meskipun menerima tekanan daripada Antonelli dan bintang Ferrari, Lewis Hamilton.
Hujan lebat yang melanda Sepang sebelum perlumbaan turut menjadikan saingan lebih mencabar apabila terdapat takungan air di beberapa bahagian litar.
Keadaan itu menyebabkan prosedur permulaan terpaksa ditangguhkan lebih 90 minit, manakala bendera merah dikibarkan ketika pusingan formasi atas faktor keselamatan.
Perlumbaan akhirnya dilepaskan pada jam 4.33 petang dengan jarak saingan dipendekkan kepada 55 pusingan.
Verstappen bagaimanapun kekal tenang mengawal perlumbaan walaupun keadaan litar mula berubah apabila permukaan semakin kering pada penghujung saingan.
Antonelli yang semakin menghampiri pada fasa akhir perlumbaan cuba memberi tekanan kepada pelumba Belanda itu, namun Verstappen berjaya mempertahankan kedudukannya untuk meraih kemenangan dengan kelebihan 2.307 saat.
Hamilton melengkapkan podium di tempat ketiga dengan ketinggalan 4.919 saat di belakang Verstappen.
Kemenangan itu menyaksikan Verstappen mengutip 25 mata dan mengumpul keseluruhan 188 mata dalam kejuaraan pemandu, sekali gus melonjak ke tangga keempat dan memintas penyandang juara dunia, Lando Norris.
Norris hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.
Antonelli pula terus mendahului kejuaraan pemandu dengan 320 mata, manakala rakan sepasukannya di Mercedes, George Russell, berada di tempat kedua dengan 236 mata.
Russell bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan selepas mengalami masalah teknikal ketika perlumbaan berbaki enam pusingan.
Charles Leclerc daripada Ferrari menamatkan saingan di tempat keempat, diikuti Isack Hadjar (Red Bull) di tempat kelima dan Oscar Piastri (McLaren) di tempat keenam.
Alexander Albon (Williams) dan Valtteri Bottas (Cadillac) turut gagal menamatkan perlumbaan.
Kejayaan Verstappen itu turut menjadi kemuncak kepulangan F1 ke Sepang selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan berkenaan pada 2017, dengan lebih 100,000 peminat tempatan dan antarabangsa hadir menyaksikan saingan.
Saingan Kejuaraan Dunia F1 seterusnya akan diteruskan menerusi GP Singapura pada hujung minggu depan.





