KENINGAU: Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, bersama bekas pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sook, Nabawan dan Tulid menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sekali gus memperkukuh parti itu di Bahagian Pensiangan.

Ellron menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin, selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan di sebuah hotel di sini, semalam.
Beliau turut dilantik sebagai AJK Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan selepas menyertai parti berkenaan.
Abdul Ghani berkata, perubahan struktur pentadbiran parti daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen menjadikan pengurusan parti lebih mencabar, namun pada masa sama membuka ruang untuk memperkemas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Katanya, Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan turut mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat DUN sebagai langkah memperkukuh jentera parti bagi menghadapi PRU16.
Beliau berkata, pelantikan AJK Penaja turut mengambil kira kedudukan DUN dan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), manakala penubuhan cawangan Gagasan Rakyat hendaklah berasaskan PDM di setiap kawasan berkenaan.
Abdul Ghani mengalu-alukan penyertaan Ellron serta bekas pemimpin dan ahli STAR ke dalam Gagasan Rakyat, yang disifatkannya sebagai tambahan kekuatan kepada parti di Bahagian Pensiangan.





