KOTA KINABALU: Perodua Viva yang dipandu hilang kawalan dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengorbankan empat lelaki selepas kenderaan tersebut dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh empat kenderaan lain di Jalan Sepanggar, berhampiran Taman Jaya Diri, awal pagi tadi.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku ketika Perodua Viva terbabit dipandu lelaki berusia 23 tahun bersama tiga penumpang dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebuah lori Nissan NPR dan sebuah Perodua Aruz.
“Lori berkenaan tertolak ke hadapan lalu menghimpit sebuah van Nissan Urvan, manakala van itu pula melanggar bahagian belakang sebuah Proton X50,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, keempat-empat mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan pasukan bomba.
“Kesemua mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas,” katanya.
Mayat semua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






