Read Time:1 Minute, 18 Second
BELURAN: Polis menahan seorang lelaki dalam tempoh kurang 24 jam selepas disyaki mencuri komponen sebuah Toyota Hilux yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah hotel di pekan Telupid.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, suspek tempatan berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam pada 21 September lalu hasil maklumat dan risikan polis.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.06 pagi pada hari sama membabitkan Toyota Hilux Single Cab milik seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.
Menurutnya, pada 20 September, mangsa meletakkan kenderaannya di tempat letak kereta hotel berkenaan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Tambunan keesokan harinya.
“Mangsa menyedari kejadian itu selepas kenderaannya gagal dihidupkan dan pemeriksaan mendapati komponen ‘transfer shift actuator’ hilang serta dipercayai dicuri.
“Kerugian dianggarkan berjumlah RM1,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasan berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat sebuah kenderaan dipercayai milik suspek berada di tempat kejadian.
Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Beluran dan Balai Polis Telupid diketuai Inspektor Indara Tetupok.
Susulan tangkapan itu, suspek turut membawa polis ke lokasi penyimpanan barang kes sebelum satu unit ‘transfer shift actuator’ dan sebatang ‘ratchet handle socket’ yang dipercayai berkaitan kes itu dirampas.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan serta mengenal pasti sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Hasan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat dan mempunyai ciri keselamatan yang bersesuaian.






