Read Time:3 Minute, 20 Second
Daripada Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, K Ragunath, Lim Chee Wee, Christopher Leong, George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah.
Negara kita berlandaskan undang-undang. Namun, beberapa peristiwa sejak beberapa hari lalu telah menggugat keluhuran kedaulatan undang-undang serta institusi yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pada 16 September, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita bahawa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kononnya telah dilucutkan takhta secara sepihak dan tanpa tertib oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco), tanpa sebarang alasan yang dinyatakan, proses sewajarnya atau siasatan.
Tindakan Exco yang dilaporkan itu merupakan pelanggaran berat terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), serta serangan secara langsung dan menyalahi undang-undang terhadap institusi raja berperlembagaan.
Pelucutan takhta seseorang raja berperlembagaan yang sedang memerintah merupakan langkah luar biasa yang membawa implikasi perlembagaan amat serius. Kepentingan politik jangka pendek, percaturan di belakang tabir dan arahan eksekutif secara sepihak sama sekali tidak boleh menggantikan proses sewajarnya.
Di Negeri Sembilan, proses pelucutan takhta itu tertakluk secara ketat kepada Perkara 10 UUTKNS 1959, yang menetapkan tiga syarat.
Syarat pertama untuk memulakan proses pelucutan takhta ialah pelaksanaan suatu “siasatan penuh dan lengkap oleh Undang-Undang” bagi menentukan sama ada terdapat alasan yang sah dan mencukupi untuk mengambil tindakan luar biasa sedemikian.
Berdasarkan laporan media, tiada bukti bahawa sebarang siasatan pernah dijalankan. Tiada pertuduhan atau alasan berhubung salah laku pernah dimaklumkan kepada orang ramai. Paling utama, nampaknya Tuanku tidak pernah dimaklumkan tentang sebarang dakwaan, apatah lagi diberikan hak asas untuk didengar.
Percubaan Exco untuk menegaskan bahawa suatu siasatan telah dijalankan tidak dapat dipertahankan apabila diteliti, kerana dakwaan itu hanya dikemukakan kemudian, tanpa sebarang penjelasan sama ada Tuanku telah dimaklumkan atau diberikan peluang untuk didengar. Walau apa pun, siasatan yang didakwa itu tidak boleh dianggap sebagai “siasatan penuh dan lengkap oleh Undang-Undang” sebagaimana yang dikehendaki di bawah Perkara 10(1) UUTKNS 1959.
Syarat kedua dan ketiga menetapkan bahawa suatu pemasyhuran mesti disempurnakan “dengan tandatangan Undang-Undang dan Menteri Besar”. Persoalan serius timbul tentang kesahan, kewajaran dan keabsahan di sisi undang-undang bagi dokumen yang dikatakan sebagai pemasyhuran bertarikh 19 April itu. Dokumen tersebut telah dikecam oleh bekas Menteri Besar, Aminuddin Harun, dan tidak diakui oleh Menteri Besar semasa, Ismail Lasim, yang menyatakan bahawa beliau menandatanganinya di bawah paksaan serta telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Tambahan pula, jika dokumen pemasyhuran tersebut bertarikh 19 April tetapi hanya ditandatangani oleh Ismail pada 3 Ogos, hal ini menimbulkan persoalan asas tentang kesahannya, memandangkan beliau bukan Menteri Besar pada 19 April.
Pengumuman Exco pada 16 September jelas mencerminkan tindakan badan eksekutif yang melampaui batas kuasanya. Exco tidak mempunyai mandat perlembagaan, bidang kuasa atau kuasa untuk melucutkan takhta seseorang raja. Sebarang pengisytiharan sepihak sedemikian merupakan tindakan ultra vires, iaitu di luar bidang kuasa, yang menggugat asas susunan perlembagaan negara.
Perlu diberi perhatian bahawa ketidaksahan pemasyhuran itu telah ditegaskan oleh Dewan Keadilan dan Undang serta, secara berasingan, oleh Jabatan Peguam Negara.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara dan enggan meneruskan pewartaan dokumen yang dikatakan sebagai pemasyhuran itu.
Kami, yang menurunkan nama di bawah, menyeru supaya serangan terhadap kedaulatan berperlembagaan institusi diraja Negeri Sembilan dan kedaulatan undang-undang ini dihentikan serta-merta dan sepenuhnya.
Kami menggesa dengan tegas agar kerajaan Negeri Sembilan, semua pegawai awam dan seluruh rakyat Malaysia menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta UUTKNS 1959 dengan penuh kesetiaan, memelihara kedaulatan undang-undang, dan menghormati sepenuhnya kedaulatan serta kedudukan berperlembagaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan sedang memerintah.
Exco tidak mengatasi undang-undang, dan tindakannya yang menyalahi undang-undang dalam perkara ini
Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, K Ragunath, Lim Chee Wee, Christopher Leong, George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia.
(PENAFIAN : The opinions expressed in this article are those of the author and do not necessarily reflect the views or editorial position of this publication.)






