Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

9 polis bebas tuduhan rasuah

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Sembilan pegawai dan anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini daripada semua pertuduhan menerima rasuah.

Mereka ialah Inspektor Joevian Gubal Michael, Sarjan Azizul Ismail, Lans Koperal Hairul Amid, Konstabel Afizul Azwan Anuar, Koperal Abdullah Bakir, Inspektor Bobby Rhyne Warry Nawari, Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, Koperal Sebestino Bong dan Koperal Jameswell anak Lakin.

Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua sembilan tertuduh.

Dalam penghakimannya, Jason berkata selepas membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati terdapat keraguan dalam kes pendakwaan dan elemen-elemen pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 gagal dibuktikan.

Beliau berkata berdasarkan kekuatan keterangan pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk mensabitkan kesemua tertuduh sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri jika dipanggil membela diri.

“Oleh itu, tiada kes prima facie dan kesemua sembilan tertuduh berhak dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Jason turut menegaskan bahawa mahkamah perlu membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pendakwaan dan pembelaan tidak seharusnya dipanggil semata-mata untuk menjelaskan keraguan yang timbul daripada kes pendakwaan.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan pada 2021.

Sembilan polis berkenaan berdepan beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pertuduhan itu membabitkan amaun wang yang berbeza, yang didakwa diterima daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh yang berbeza antara April 2014 hingga Julai 2018, dengan wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing.

Abdullah berdepan jumlah pertuduhan tertinggi iaitu 18 pertuduhan membabitkan RM2,200, diikuti Haikal dengan sembilan pertuduhan membabitkan RM1,570 dan Bobby dengan lapan pertuduhan membabitkan RM3,600.

Hairul berdepan lima pertuduhan membabitkan RM2,000, manakala Joevian, Afizul dan Azizul masing-masing berdepan empat pertuduhan membabitkan RM2,400, RM470 dan RM900.

James berdepan tiga pertuduhan membabitkan RM600, manakala Sebestino berdepan dua pertuduhan membabitkan RM300.

Sepanjang perbicaraan bersama itu, pihak pendakwaan memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan.

Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi mengendalikan pendakwaan.

Peguam Mohd Azhier Farhan Arisin mewakili Hairul, Afizul, Abdullah, Haikal dan Jameswell, manakala Joevian dan Azizul diwakili peguam Sylyester Kuan.

Bobby pula diwakili peguam Batholomew Jingulam dan Edward Paul; manakala Sebestino diwakili peguam Luke Ressa Balang.

LEAVE A RESPONSE