KOTA KINABALU: Seorang lelaki diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
Hakim Monica Linsua membuat keputusan itu terhadap Lai Hiap Lee, 48, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Lai didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berkenaan pada waktu petang, 18 Mei 2025, di dalam sebuah premis Mr DIY di Jalan Kobusak Nosoob, Penampang.
Lai, yang bekerja sebagai pembantu kedai dobi, didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang kes pendakwaan, seramai enam saksi dipanggil untuk memberi keterangan.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini untuk menyambung perbicaraan bagi peringkat pembelaan dan jaminan tertuduh dilanjutkan sehingga takes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, manakala tertuduh diwakili peguam Jagnesh Jaya.






