Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Liga Super : Kami tidak gembira dengan keputusan ini – Garrido

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido mengakui prestasi pasukannya semakin merosot selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut termasuk dua aksi di laman sendiri.

Semalam, Sabah FC tewas 1-2 di tangan DPMM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas menjadikan ia adah kekalahan kedua di laman sendiri selepas tewas 0-2 di tangan Kuching City FC pada 5 September lalu.

Sabah juga tewas 2-1 di tangan Selangor FC dalam perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA di Stadium MBPJ pada 9 September lalu, sekali gus gagal mara ke peringkat seterusnya.

Garrido berkata, keputusan malam tadi sememangnya mengecewakan selepas Sabah FC gagal mengekalkan prestasi yang ditunjukkan sebelum ini, terutama ketika berdepan tempoh persaingan yang padat.

“Kami tidak gembira dengan keputusan ini. Saya fikir kami bermula dengan baik. Kami bolos gol yang sepatutnya tidak berlaku.

“Selepas itu, saya rasa pasukan agak keletihan selepas melalui tempoh dua minggu yang mencabar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurutnya, Sabah FC masih mampu menunjukkan tenaga dan mencipta peluang pada separuh masa pertama sebelum berjaya mendapatkan gol penyamaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui pasukannya gagal mengekalkan tahap permainan tersebut sehingga DPMM FC mengambil kesempatan terhadap beberapa kelemahan yang ditunjukkan.

“Pada separuh masa kedua, kami tidak bermain dengan baik. Saya tidak tahu sama ada disebabkan faktor tenaga atau kami terlalu mudah memberi ruang atau naif dalam beberapa situasi, tetapi kami sekali lagi dibolosi,” katanya.

Garrido berkata, DPMM FC berjaya mengeksploitasi ruang yang diberikan, khususnya menerusi gerakan serangan balas, selain mempunyai pemain yang mampu menghukum kesilapan Sabah FC.

“Mereka mempunyai pemain dan penyerang yang bagus serta mampu menyerang ruang dengan baik. Kami tidak menghalang gerakan serangan balas mereka sebagaimana yang sepatutnya.

“Mereka mengambil kesempatan dan mengawal permainan. Saya fikir mereka menyerang kelemahan kami dengan sangat baik,” katanya.

Beliau turut mengakui Sabah FC tidak mempunyai tenaga mencukupi untuk bangkit selepas kembali ketinggalan, sekali gus menyukarkan usaha pasukan untuk mengubah keputusan perlawanan.

Dalam pada itu, Garrido berkata, jadual perlawanan yang padat sejak kebelakangan ini turut menjejaskan persediaan pasukan kerana mereka hampir tidak mempunyai masa untuk menjalani latihan secara konsisten.

Katanya, Sabah FC melalui tempoh kira-kira dua hingga dua setengah minggu dengan perlawanan dan perjalanan yang berterusan.

“Kami tidak mempunyai masa kerana jadual yang padat,” katanya.

Bagaimanapun, Garrido percaya pasukannya mempunyai peluang untuk memperbaiki keadaan selepas ini apabila memperoleh tempoh lebih panjang untuk berehat dan menjalani latihan.

“Kini kami mempunyai masa untuk berehat dan tempoh yang lebih panjang untuk menjalani latihan.

“Saya yakin kami boleh kembali dengan lebih kuat, lebih kukuh, sambil mengekalkan niat dan corak permainan ini,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Sabah FC gagal mengutip mata di laman sendiri dan kekal di tangga keempat Liga Super dengan enam mata.

Sabah FC dijadual bertemu Negeri Sembilan FC pada 17 Oktober depan di Stadium Tunku Abdul Rahman.

LEAVE A RESPONSE