Read Time:1 Minute, 23 Second
LABUAN: Seorang pengusaha kedai alat permainan dikompaun selepas dikesan menawarkan harga promosi kepada pengguna tanpa mengemukakan Notis Jualan Murah terlebih dahulu.
Kesalahan itu dikesan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah premis perniagaan di Kompleks Membeli-Belah Ujana Kewangan, di sini.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan sedang mengadakan promosi jualan murah, namun gagal mengemukakan Notis Jualan Murah kepada Pengawal terlebih dahulu sebagaimana diwajibkan mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) yang dibuat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Susulan ketidakpatuhan itu, kompaun dikenakan terhadap pengusaha premis berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, individu yang disabitkan atas kesalahan mengikut Akta 730 boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM500,000 jika disabitkan kesalahan, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh mencecah RM1 juta.
Junaidah mengingatkan peniaga bahawa pelaksanaan jualan murah bukan sekadar strategi promosi untuk menarik pengguna, sebaliknya tertakluk kepada peraturan yang perlu dipatuhi.
Katanya, keperluan mengemukakan Notis Jualan Murah penting bagi memastikan sesuatu promosi dilaksanakan secara teratur dan telus serta maklumat harga yang ditawarkan kepada pengguna tidak mengelirukan.
Beliau berkata, pemantauan terhadap aktiviti promosi dan jualan murah di premis perniagaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap tawaran yang diiklankan kepada pengguna mematuhi perundangan.
Peniaga turut disaran menyemak dan memahami keperluan perundangan sebelum melaksanakan sebarang promosi jualan murah bagi mengelakkan tindakan undang-undang.






