Read Time:2 Minute, 7 Second
SHAH ALAM : Sebanyak 18 rekod kejohanan kebangsaan Para SUKMA berjaya diperbaharui atlet Sabah pada temasya Para SUKMA 2026, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi serta potensi besar dimiliki kontinjen negeri itu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian tersebut merupakan antara perkembangan paling membanggakan yang dicatat atlet Sabah sepanjang penyertaan pada Para SUKMA kali ini.
Menurut beliau, kejayaan memperbaharui 18 rekod kebangsaan itu menunjukkan atlet Para Sabah bukan sahaja mampu memburu pingat, malah berupaya meningkatkan tahap prestasi dan mencipta pencapaian baharu dalam bidang masing-masing.
“Yang lebih menggembirakan saya, ada 18 rekod kejohanan kebangsaan Para SUKMA yang telah diperbaharui oleh atlet-atlet Sabah.
“Dan ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Penutupan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA di Dewan Selangor International Trade Centre (SITC) di sini pada Khamis.
Nizam berkata, pencapaian berkenaan membuktikan Sabah mempunyai atlet berpotensi tinggi yang mampu diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa sekiranya diberikan sokongan serta latihan secara berterusan.
Beliau yakin prestasi atlet Para Sabah dapat terus dipertingkatkan menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, jurulatih, pengurusan sukan, ibu bapa dan komuniti.
“Saya yakin sekiranya semua pihak memberikan kerjasama, sokongan, dorongan, latihan yang berterusan, insya-Allah Sabah akan menjadi salah satu negeri yang dapat mengeluarkan atlet-atlet yang berjaya,” katanya.
Menurut Nizam, sasaran tersebut bukan sekadar untuk melahirkan atlet yang cemerlang di peringkat kebangsaan, tetapi turut mampu mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa.
Katanya, kejayaan 18 rekod yang diperbaharui itu menjadi petunjuk bahawa pembangunan sukan para di Sabah berada pada landasan yang positif dan perlu diteruskan secara konsisten.
“Bukan saja berjaya di peringkat kebangsaan, tapi akan berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada semua atlet yang berjuang sepanjang temasya, selain jurulatih dan pengurusan kontinjen yang memainkan peranan penting dalam mempersiapkan atlet.
Beliau turut menghargai sokongan Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN) serta Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah dalam memastikan kebajikan dan persiapan atlet diberikan perhatian.
Nizam berkata, peranan ibu bapa juga tidak boleh diketepikan kerana sokongan dan dorongan keluarga menjadi antara faktor penting yang membantu atlet memberikan persembahan terbaik dalam pertandingan.
Pencapaian 18 rekod kebangsaan itu sekali gus melengkapkan kejayaan cemerlang kontinjen Para Sabah yang turut mengumpul 69 pingat emas pada Para SUKMA 2026, pencapaian terbaik negeri itu dalam tiga edisi terakhir temasya berkenaan.
Beliau berharap momentum tersebut dapat dikekalkan bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang mampu mencipta rekod baharu dan seterusnya menjadi wakil negara pada kejohanan antarabangsa. – SABAH MEDIA






