Read Time:1 Minute, 0 Second
BEAUFORT: Sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai dipatahkan dengan lapan individu ditahan dan rampasan bernilai RM785,263.50 dalam satu operasi khas baru-baru ini.
Operasi hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Wildlife Bureau Crime/Perisikan Siasatan Khas JKDNKA Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort itu turut membawa kepada rampasan 650 karton minuman keras pelbagai jenis dan tiga lori.
IPD Beaufort dalam kenyataan berkata Sindiket dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan melalui alur sungai muara dan kawasan tepi pantai sekitar Menumbok serta Kuala Penyu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“IPD Beaufort terus komited membanteras kegiatan penyeludupan barangan kontraban. Bagi tempoh 2025 hingga September 2026, sebanyak 16 kes direkodkan dengan 22 tangkapan dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah kira-kira RM1.43 juta,” menurut kenyataan itu kelmarin.
PDRM turut memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan bagi mengekang ketirisan hasil negara serta menjaga keselamatan perairan dan sempadan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan diseru menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau saluran rasmi PDRM,” katanya.






