Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Liga Super : Juan Torres Garrido mahu Sabah kekal tenang buru tiket suku akhir

Read Time:2 Minute, 8 Second

PETALING JAYA: Sabah FC perlu kekal tenang, berdisiplin dan yakin dengan kemampuan sendiri jika mahu menyingkirkan Selangor FC sekali gus menempah tiket ke suku akhir Piala FA.

Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido, mengakui cabaran menanti anak buahnya bukan mudah apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pertama Pusingan 16.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya Sabah mempunyai peluang untuk mencipta keputusan positif pada aksi timbal balik yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Menurut Garrido, komunikasi serta keserasian antara pemain perlu berada pada tahap terbaik sejak wisel permulaan bagi membolehkan Sabah mengawal permainan dan menghadapi sebarang situasi tidak dijangka.

“Ia sangat penting untuk kami konsisten, sehaluan dan mempunyai komunikasi yang baik antara pemain sejak minit pertama bagi mengawal situasi yang tidak dapat dijangka dalam perlawanan seperti ini,” katanya.

Garrido menjangkakan Selangor akan tampil lebih agresif di laman sendiri, apatah lagi perlawanan itu menjadi penentu kepada peluang kedua-dua pasukan untuk meneruskan cabaran dalam Piala FA.

“Mereka bermain di laman sendiri, mereka adalah pasukan pilihan dan meneruskan saingan dalam Piala FA sangat penting buat mereka.

“Kami menjangkakan mereka akan cuba mendominasi permainan dan mencari gol awal,” katanya.

Sabah memiliki kelebihan psikologi selepas berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama, namun turut melepaskan dua gol yang menyaksikan aspek pertahanan antara perkara yang diberi perhatian oleh Garrido.

Dalam pada itu, beliau mengakui jadual padat ketika ini turut memberi cabaran kepada pasukan, terutama dari segi memastikan pemain berada pada tahap kecergasan fizikal dan mental terbaik.

“Kami bekerja untuk memperbaiki setiap aspek, tetapi jadual yang padat memaksa kami memberi keutamaan kepada pemulihan fizikal dan mental pemain.

“Namun, pemain kami tahu apa yang perlu diperbaiki untuk perlawanan ini,” katanya.

Garrido turut mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu dibelenggu kesilapan yang berlaku dalam perlawanan terdahulu, sebaliknya perlu lebih bijak memanfaatkan kesilapan yang dilakukan pihak lawan.

Katanya, beberapa gol yang dilepaskan Sabah sebelum ini berpunca daripada tindakan individu luar biasa pemain serangan lawan, namun masih terdapat aspek tertentu yang boleh diperbaiki.

“Kesilapan sentiasa berlaku dalam bola sepak. Tiga daripada empat gol terakhir yang kami bolos datang daripada tindakan individu luar biasa pemain penyerang lawan.

“Memang ada situasi pada awal gerakan yang boleh kami elakkan, tetapi mungkin kami dihukum terlalu berat. Bagaimanapun, kami perlu menggunakan kesilapan lawan dengan lebih baik,” katanya.

Menjelang pertembungan penting itu, Garrido mahu barisan pemainnya kekal bersatu, tenang dan percaya kepada kemampuan pasukan untuk mendapatkan keputusan yang diperlukan.

“Kami perlu sehaluan, menguruskan serangan dengan lebih baik, kekal yakin dan mengekalkan semangat ini.

“Paling penting, kami perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol lebih daripada lawan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE