Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Fitnah terancang cemar reputasi Ketua Menteri – Nizam

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Satu hantaran media sosial yang menyifatkan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bertemu dengan Albert Tei untuk mengaitkannya dalam skandal perlombongan di Sabah adalah jelas merupakan satu cubaan untuk mencemarkan reputasi Ketua Menteri. 

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Ketua Menteri dalam kapasiti beliau sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri, berjumpa dengan semua lapisan pihak berkepentingan.

Katanya,  pertemuan-pertemuan Ini adalah mesyuarat rasmi biasa yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Ketua Menteri. 

“Individu di sebalik hantaran media sosial tersebut, bersama Albert, mempunyai niat jahat untuk mengaitkan Ketua Menteri dengan Albert dan skandal perlombongan menggunakan gambar untuk menyiratkan. 

“Tambahan pula, Ketua Menteri tidak menafikan kenal atau pernah bertemu dengan Albert, tetapi jelas, pos tersebut adalah satu cubaan untuk mempolitikan mesyuarat biasa, yang bersifat menyiratkan dan tidak bertanggungjawab,” katanya 

Nizam berkata, Ketua Menteri telah bersikap telus dan telah meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh, sambil memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya. 

Katanya, segala tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang dan bukan melalui kempen fitnah di media sosial.

Sementara itu Nizam berkata, portal berita tempatan semalam mendedahkan, seorang sumber memaklumkan bahawa Albert  telah merancang ‘aksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai berkaitan dengan kes rasuahnya yang dijadual disebut di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. 

Katanya,  amat jelas bahawa Albert sendiri memainkan peranan utama dalam mencetuskan drama persepsi tersebut.

“Beliau sudah merancang langkah ini lebih awal. Dia masuk ke Sabah dengan memberitahu pihak imigresen kononnya hanya mahu berjumpa kawan, sedangkan dia tidak menunjukkan surat panggilan mahkamah yang sepatutnya. 

“Semua ini merupakan sebahagian daripada muslihat dan perancangan jahat Albert untuk menimbulkan kekeliruan dan menimbulkan persepsi kononnya beliau dianiaya,” katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, Albert sengaja mencetuskan teori konspirasi kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan terhadap dirinya bagi meraih simpati awam. 

“Ini bukan lagi tindakan individu teraniaya, tetapi satu operasi persepsi terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes dan siasatan terhadap dirinya sendiri,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE