Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah mahu lahir lebih ramai usahawan, pencipta perniagaan baharu

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memupuk kreativiti, daya tahan dan cita-cita keusahawanan dalam kalangan belia Sabah bagi memperkasa mereka menjadi usahawan, inovator serta pencipta perniagaan baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan juga mahu Sabah dilihat pelabur dan pemimpin perniagaan dari luar sebagai platform untuk mewujudkan peluang baharu merentasi Borneo, BIMP-EAGA, ASEAN dan pasaran global.

“Adalah menjadi aspirasi kita agar Sabah menjadi sebuah gerbang, tempat di mana idea bertemu modal, usahawan bertemu rakan kongsi, inovasi bertemu peluang dan perniagaan tempatan berhubung dengan pasaran serantau serta global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada Sabah International Business Luncheon Talk (SIBLT2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri mempunyai peranan penting dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menyokong keusahawanan, menggalakkan pelaburan, memudah cara urusan perniagaan serta membolehkan inovasi dan pertumbuhan berkembang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mampu membina masa depan Sabah secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama kerajaan, sektor perniagaan, pelabur, usahawan, ahli akademik dan komuniti.

“Kerajaan tidak boleh membina masa depan bersendirian. Masa depan dibina apabila kerajaan, sektor perniagaan, pelabur, usahawan, ahli akademik dan komuniti bekerjasama.

“Inilah sebabnya platform seperti SIBLT2026 amat penting. Ia menghimpunkan orang ramai, mengubah perbualan menjadi jaringan hubungan, jaringan menjadi perkongsian dan perkongsian menjadi peluang,” katanya.

Menurutnya, aspirasi Sabah bukan sekadar menarik lebih banyak perniagaan ke negeri ini, tetapi turut mewujudkan dan menyokong lebih banyak syarikat tempatan supaya mampu berkembang menjadi pemain di peringkat serantau dan global.

“Inilah Sabah berteraskan keusahawanan yang kita impikan. Saya yakin jamuan tengah hari hari ini boleh menjadi titik permulaan kepada banyak perjalanan baharu, usaha niaga baharu, pelaburan baharu, kerjasama baharu dan kisah kejayaan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata keusahawanan sentiasa berkait rapat dengan keupayaan melihat kemungkinan ketika orang lain melihat ketidaktentuan.

Katanya, ia memerlukan keberanian untuk memulakan, daya tahan untuk terus bertahan, kreativiti untuk berinovasi dan keazaman menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang memberi nilai kepada masyarakat.

“Semangat keusahawanan ini lebih penting pada hari ini berbanding sebelum ini. Kita sedang melalui satu tempoh transformasi pesat.

“Teknologi sedang mengubah model perniagaan tradisional, manakala kecerdasan buatan pula membentuk semula cara kita bekerja,” katanya.

Beliau berkata perubahan iklim turut mempengaruhi keputusan pelaburan, selain kemunculan pasaran baharu dan persaingan yang semakin sengit dalam pasaran tradisional.

“Dalam persekitaran seperti ini, kita tidak boleh sekadar menunggu peluang datang kepada kita. Kita mesti mempunyai visi dan inisiatif untuk menciptanya. Di sinilah Sabah mempunyai potensi yang amat besar,” katanya.

Hajiji turut memberi penghargaan kepada penceramah utama SIBLT2026, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah, yang juga Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway.

Beliau berkata perjalanan tokoh berkenaan mencerminkan semangat keusahawanan yang ingin dipupuk dalam kalangan masyarakat Sabah.

“Perjalanan Tan Sri Jeffrey merupakan satu peringatan yang sangat bermakna bahawa perusahaan yang hebat tidak dibina dalam sekelip mata.

“Ia dibina melalui visi, keberanian, ketekunan dan keyakinan teguh terhadap apa yang boleh dicapai,” katanya.

Hajiji berkata SIBLT2026 turut menyediakan platform penting untuk menghimpunkan pemimpin perniagaan, pelabur, usahawan dan pembuat dasar bagi berkongsi idea, pengalaman serta membina jaringan.

Katanya, hampir 750 pemimpin perniagaan, pelabur, usahawan dan pembuat dasar hadir pada program berkenaan.

“Janganlah kita membiarkan hubungan ini berakhir apabila jamuan tengah hari ini selesai. Marilah kita menggunakan platform ini untuk membina perkongsian, meneroka pelaburan, bertukar idea dan membuka peluang antara satu sama lain,” katanya.

LEAVE A RESPONSE