Read Time:1 Minute, 26 Second
KOTA KINABALU: Jaringan Abdul Halim Saari pada minit ke-58 menyelamatkan Sabah FC daripada tumbang kepada Selangor FC selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Beraksi di laman sendiri, skuad Sang Badak terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tandukan Dane James Ingham pada minit ke-33.
Ingham menyudahkan peluang hasil sepakan sudut yang diambil pemain tengah, Park Jungbin, untuk meletakkan Sabah di depan 1-0.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Selangor menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian menerusi Kay Sheku Tejan.
Penyerang Selangor itu menanduk masuk bola hasil sepakan percuma rakannya, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan kemudian beraksi seimbang sehingga tamat babak pertama tanpa tambahan jaringan.
Memasuki separuh masa kedua, Selangor tampil lebih agresif dan berjaya membalikkan kedudukan menerusi Chrigor Flores Moraes pada minit ke-50.
Ketinggalan 1-2 menyaksikan Sabah meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan dan usaha itu akhirnya membuahkan hasil lapan minit kemudian.
Abdul Halim muncul sebagai penyelamat tuan rumah apabila melepaskan rembatan leret yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Gol itu terhasil selepas percubaan pertama Sabah menerusi sepakan sudut Jungbin berjaya dihalang pertahanan Selangor sebelum bola jatuh kepada Abdul Halim yang tidak mensia-siakan peluang.
Kedudukan 2-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan walaupun Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanannya, Muhammad Safuwan Baharudin, dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-78.
Sabah bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain bagi mencari gol kemenangan dalam baki perlawanan.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan membawa kelebihan seimbang menjelang aksi timbal balik Pusingan 16 Piala FA yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada 9 September ini. – SABAH MEDIA






