Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS perluas pengkomersialan inovasi menerusi pelesenan produk perubatan

Read Time:1 Minute, 49 Second

TUARAN : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha pengkomersialan hasil penyelidikannya menerusi pemeteraian satu perjanjian pelesenan bersama Recove Sdn. Bhd. bagi produk inovasi perubatan.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu acara sempena penutupan siri jelajah Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 Peringkat Sabah di Dewan Seri Sulaman, Tuaran baru-baru ini.

Perjanjian pelesenan tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly bagi pihak UMS dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Recove Sdn. Bhd., Ir. Ts. Abdul Rahman Bahasa bagi pihak syarikat berkenaan.

Menurut Rosalam, perjanjian tersebut melibatkan produk inovasi hasil penyelidikan Dr. Mohamed Arif Hameed Sultan, pakar bedah am dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS.

“Inovasi berkenaan merupakan peranti diatermi mudah alih yang dibangunkan untuk kegunaan prosedur berkhatan dan berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat industri serta pasaran.

“BFOI memberi penekanan kepada keseluruhan rantaian pembangunan inovasi, bermula daripada mengenal pasti permasalahan setempat, mencetuskan idea dan membangunkan penyelesaian, sehinggalah kepada perlindungan harta intelek dan peluang pengkomersialan.

“Pemeteraian perjanjian pelesenan ini memperlihatkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada aplikasi yang berpotensi untuk dikembangkan bersama industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali ketika menyempurnakan perasmian penutupan program tersebut berkata, program BFOI selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 dalam memperkasa modal insan, penyelidikan dan inovasi, selain mewujudkan peluang ekonomi baharu berasaskan pengetahuan dan teknologi.

Tambah beliau, program tersebut diharap mampu menjadi pencetus kepada lebih banyak inovasi tempatan yang mampu menyelesaikan isu masyarakat, dikomersialkan serta diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Program anjuran UMS bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang bertemakan “Cetus Idea, Cipta Masa Depan” itu menghimpunkan hampir 800 inovasi daripada pelbagai kumpulan peserta sepanjang siri jelajah BFOI 2026.

Jumlah tersebut memperlihatkan potensi besar bakat mencipta dalam kalangan masyarakat Sabah, selain menunjukkan ruang yang luas untuk idea tempatan dibangunkan menjadi penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut hadir pada program tersebut Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Profesor Datuk Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Moira David; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Tuaran, Siti Arnizah Rumsani; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Setiausaha Rendah (Pentadbiran) Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Johnny Samson.

LEAVE A RESPONSE