Read Time:1 Minute, 29 Second
KOTA KINABALU: Beberapa jalan dan kawasan tempat letak kereta di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu akan ditutup sementara bermula esok bagi memberi laluan kepada penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026 dan Sambutan Hari Sabah 2026.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan berkenaan membabitkan beberapa lokasi serta tempoh masa yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran sesi raptai dan acara sebenar.
Bagi sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026, sesi raptai dijadual akan berlangsung pada 27 Ogos sehingga 29 Ogos 2026 bermula jam 5 pagi sehingga 12 tengah hari. Acara sebenar alan dijalankan pada 31 Ogos.
Manakala bagi raptai sambutan Hari Sabah 2026 dijadual akan berlangsung pada 26 Ogos sehingga 28 Ogos bermula jam 7 malam sehingga 11 malam.
Pada 29 Ogos, raptai penuh akan berlangsung dari jam 6 petang hingga 11 malam, manakala acara sebenar pada 31 Ogos dijadualkan bermula jam 1 tengah hari hingga 11 malam.
Bagi Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026, penutupan di lokasi acara membabitkan Jalan Tun Fuad Stephens bermula jam 1 pagi, 26 Ogos hingga jam 1 tengah hari, 31 Ogos 2026.
Selain itu, kawasan tempat letak kereta di Medan Selera Anjung Senja serta Stesen Perhentian Bas Zon Selatan, Jalan Tun Fuad Stephens turut terlibat dalam penutupan sementara sepanjang tempoh berkenaan.
Lokasi lain yang terlibat ialah Jalan Utama Sutera Harbour, khususnya bahagian kiri keluar ke Jalan Coastal, serta Jalan Mentari.
Sehubungan itu, DBKK menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas di kawasan terbabit serta menggunakan jalan alternatif bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik.
Orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, khususnya pengguna jalan raya yang perlu melalui kawasan Jalan Tun Fuad Stephens dan laluan berhampiran sepanjang tempoh penutupan.
Kerjasama orang ramai dalam mematuhi arahan serta mengutamakan keselamatan sepanjang pelaksanaan sambutan amat dihargai.






