Read Time:1 Minute, 37 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pemilik syarikat pembalakan dan pengurusnya yang sebelum ini disabitkan kesalahan berhubung kegagalan membayar royalti kayu balak, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alexander Siew How Wai membenarkan rayuan pengurus Tiong Chee Khong dan pemilik Yun Ket Chun, serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap mereka.
Dalam keputusannya, mahkamah mendapati sabitan terhadap kedua-dua perayu adalah tidak selamat.
“Oleh itu, rayuan dibenarkan dan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan mahkamah rendah diketepikan, manakala kedua-dua perayu dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan serta sebarang denda yang telah dibayar dikembalikan.
Pada 16 Mei 2025, kedua-duanya didenda keseluruhan RM100,000 selepas didapati bersalah memiliki secara tidak sah 238 batang balak yang royaltinya belum dibayar.
Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu menjatuhkan hukuman berkenaan selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap mereka melampaui keraguan munasabah.
Tiong dan Yun masing-masing didenda RM50,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda dan kedua-duanya telah membayar denda berkenaan.
Mereka didapati bersalah memiliki tanpa kuasa atau hak yang sah 238 batang balak berjumlah 630.17 meter padu yang belum dibayar royalti, pada jam 10.30 pagi, 7 Februari 2020 di kawasan penyimpanan kayu balak di Hutan Simpan Sipitang.
Mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(2)(b) enakmen sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada awalnya, Tiong dan Yun didakwa pada 21 Jun 2023 atas empat pertuduhan berkaitan pembalakan haram dan memiliki kayu balak secara tidak sah di Sipitang.
Pada 18 Disember 2024, kedua-duanya dibebaskan daripada tiga pertuduhan menebang secara haram 707 kayu balak di Hutan Simpan dan tanah kerajaan di Sipitang tanpa dipanggil membela diri.
Tiong dan Yun diwakili peguam Aaron Mark Pius dan Sabrina Cassandra Lawrence, manakala Timbalan Pendakwa Raya Darcia Jane Romanus mewakili responden.






