Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kekurangan pendengaran bukan penghalang serlah bakat muzik

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kekurangan pendengaran (pekak) bukan penghalang bagi murid pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kota Kinabalu untuk menyerlahkan bakat muzik apabila tampil di pentas negeri menerusi Borneo Inclusive Ensemble (BIE).

Guru pembimbing BIE, Stefanus Lucas berkata, kumpulan itu diberi peluang membuat persembahan pada 13 Ogos lalu sempena Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sabah Kali Ke-14 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Likas, di sini.

Stefanus

Katanya, persembahan berkenaan menampilkan alat muzik tradisional angklung dan Toggungak (Gong Bamboo), sekali gus memberi pengalaman bermakna kepada murid yang terlibat.

“Bagi murid-murid pekak yang terlibat, peluang ini mempunyai makna tersendiri kerana mereka belajar bermain muzik melalui pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka, termasuk menggunakan getaran, visual, pergerakan dan isyarat untuk mengikuti rentak serta menyelaraskan permainan.

“Persembahan ini menjadi pengalaman penting buat mereka apabila berpeluang membawa persembahan muzikal ke peringkat negeri, di hadapan warga pendidikan khas dan peserta kejohanan dari seluruh Sabah,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.

Kejohanan yang berlangsung dari 10 hingga 14 Ogos itu bukan sahaja menjadi medan persaingan olahraga murid pendidikan khas, malah turut membuka ruang untuk bakat seni dan muzik diketengahkan.

Stefanus berkata, BIE dibimbing beliau dengan bantuan Jaimin Juani @ Azizul Abdullah dan Syed Mohd Farhan Syed Rosli.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Negeri Sabah, Hairiah Daud, yang juga antara Ahli Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas (KOPK) MSS Sabah 2026, atas jemputan dan ruang yang diberikan kepada kumpulan itu untuk membuat persembahan.

Penghargaan turut diberikan kepada Guru Besar SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu, Hamka Eallie, atas sokongan dan kepercayaan terhadap penglibatan murid dalam bidang muzik, seni dan persembahan.

Menurutnya, BIE bakal meneruskan penglibatan dalam bidang seni apabila dijadual menyertai North Borneo Rainforest Festival (NBRF) 2026.

Katanya, kumpulan itu akan menampilkan mini persembahan muzikal dengan mengetengahkan beberapa alat muzik tradisional dalam program seni dan budaya berkenaan.

“Peluang seperti ini memberi ruang kepada murid pekak untuk terus mengembangkan bakat, memperkenalkan muzik tradisional serta membina keyakinan diri melalui pengalaman sebenar di pentas.

“Daripada gelanggang olahraga ke pentas budaya, BIE membuktikan bahawa apabila peluang dan sokongan diberikan, murid pekak juga mampu tampil, berkarya dan berkongsi muzik mereka dengan masyarakat,” katanya.

Stefanus berkata, muzik bagi murid berkenaan bukan semata-mata tentang apa yang didengar, sebaliknya turut dirasai melalui getaran, dilihat melalui pergerakan dan disampaikan melalui kebersamaan.

LEAVE A RESPONSE