Read Time:2 Minute, 31 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Negeri Sabah terus diperkasa bagi membantu wanita, khususnya ibu tunggal, mendapatkan sokongan dari aspek perundangan, kewangan dan pemerkasaan ekonomi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program itu menunjukkan perkembangan positif dalam membantu wanita memahami hak mereka serta mendapatkan akses kepada bantuan yang diperlukan.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya masih berdepan batasan dari segi jumlah peserta dan peruntukan yang tersedia.
Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi ibu tunggal adalah apabila bekas suami gagal membayar nafkah anak walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah.
“Kadang-kadang mahkamah sudah membuat keputusan bekas suami perlu membayar nafkah anak, tetapi masih tidak membayar. Bekas isteri pula tidak mempunyai wang untuk meneruskan tuntutan.
“Jadi, kita cuba membantu mereka dari segi perundangan supaya mereka mengetahui hak serta saluran yang boleh digunakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program KasihnITa 2026 Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Nancy berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan peguam syarie dan sivil serta Badan Peguam Malaysia bagi memberi panduan kepada peserta mengenai tindakan yang boleh diambil.
Menurutnya, sesetengah kes sivil mengambil masa kira-kira enam bulan untuk diselesaikan, manakala kes tertentu boleh berlarutan sehingga setahun.
Beliau berkata, kementerian akan menyimpan data kes yang masih tertangguh bagi membolehkan usaha membantu peserta diteruskan, tertakluk kepada peruntukan yang diterima pada tahun depan.
Dalam pada itu, Nancy berkata isu keganasan rumah tangga kekal sebagai perkara yang memerlukan perhatian berterusan, dengan kementerian mempergiatkan program advokasi bagi memastikan mangsa mengetahui hak serta prosedur mendapatkan bantuan.
“Jangan biarkan diri menjadi mangsa. Kita mahu mereka menjadi survivor dan mempunyai semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa keganasan rumah tangga disaran membuat laporan kepada polis dan mendapatkan rawatan di hospital yang menyediakan One Stop Crisis Center (OSCC).
Katanya, Talian Kasih 15999 serta perkhidmatan kaunseling turut disediakan bagi membantu mangsa.
Nancy berkata, peningkatan atau penurunan statistik keganasan rumah tangga juga tidak boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap keadaan sebenar.
“Kalau angka meningkat, mungkin kerana kesedaran semakin tinggi dan lebih ramai tahu prosedur untuk membuat laporan. Jika angka menurun pula, ia tidak semestinya bermakna kes berkurangan kerana mungkin ada yang masih tidak mahu melaporkan,” katanya.
Mengenai situasi di Sabah, Nancy berkata isu utama yang dihadapi wanita adalah kekurangan pekerjaan dan sumber kewangan, terutama dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai sokongan kewangan mencukupi.
Justeru, katanya, kementerian memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi dan pengetahuan perundangan supaya wanita dapat mencari sumber pendapatan serta membina kehidupan yang lebih berdikari.
Nancy berkata, Sabah bukan negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam program berkenaan, sebaliknya Perak merekodkan jumlah lebih tinggi.
Beliau berkata, program KasihnITa dilaksanakan di seluruh negara dengan penyertaan terhad kepada 150 peserta bagi setiap sesi, bergantung kepada peruntukan yang tersedia.
Katanya, kesinambungan program itu pada tahun depan juga bergantung kepada jumlah peruntukan yang diluluskan, termasuk bagi menampung kos perjalanan peserta, bantuan guaman serta urusan berkaitan tuntutan di mahkamah.
“Selagi kita mempunyai dana, kita akan terus membantu wanita,” katanya.






