Read Time:1 Minute, 34 Second
LABUAN: Sebuah syarikat bakeri di sini diambil tindakan selepas didapati masih menjalankan aktiviti perniagaan melibatkan barang kawalan berjadual walaupun permit menyimpan barang kawalan berjadual (CSA) miliknya telah tamat tempoh.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, kes membabitkan syarikat bakeri itu dikesan ketika sepasukan anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan naziran menerusi Ops Tiris 4.0 di kawasan pinggir bandar sekitar Labuan.
“Hasil pemeriksaan mendapati permit menyimpan barang kawalan berjadual milik syarikat berkenaan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui.
“Namun begitu, syarikat masih menjalankan aktiviti perniagaan yang melibatkan pembelian, penyimpanan dan penggunaan barang kawalan berjadual tanpa permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] serta perundangan subsidiari yang berkaitan.
Susulan penemuan itu, dokumen berkaitan disita bagi tujuan siasatan lanjut dan kes sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh, jika disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan.
Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda boleh mencecah RM5 juta.
Beliau mengingatkan semua pemegang lesen dan permit barang kawalan, termasuk pemborong barang kawalan berjadual, supaya sentiasa memastikan permit yang dimiliki masih sah serta mematuhi segala syarat yang ditetapkan.
“Pemegang permit juga dinasihatkan agar tidak mengambil mudah tarikh tamat tempoh dan mengemukakan permohonan pembaharuan lebih awal bagi memastikan aktiviti perniagaan sentiasa mematuhi perundangan,” katanya.
Tambahnya, KPDN Labuan akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan di bawah bidang kuasa KPDN supaya menyalurkan aduan menerusi saluran rasmi yang disediakan untuk tindakan lanjut.






