Read Time:1 Minute, 44 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara tiga tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.
Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara serta mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan.
Lelaki berusia 32 tahun itu didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun tiga bulan pada Januari 2022 jam 8 pagi di ruang makan sebuah apartmen di Penampang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan jaminan baharu RM10,000 dengan dua penjamin tempatan.
Tertuduh turut diarahkan memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya Isnin ini, dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan jaminannya dibatalkan.
Semasa rayuan, peguam Erveana Ansari yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan memohon mahkamah memberinya peluang untuk berubah serta tidak mengulangi kesalahan sama.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa isteri tertuduh dijangka melahirkan anak pertama mereka pada 25 Ogos ini dan tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis sebaliknya memohon hukuman berat sambil menegaskan keseriusan kes yang membabitkan mangsa berusia 11 tahun yang mempunyai keadaan khas dan memerlukan penjagaan khusus daripada ibu bapanya.
Bryan berkata, mangsa adalah anak tiri tertuduh sendiri dan tertuduh telah menyalahgunakan kedudukan serta kepercayaan sebagai bapa tiri dengan melakukan kesalahan itu terhadap mangsa.
Menurutnya, ibu mangsa ketika memberi keterangan di mahkamah memaklumkan bahawa mangsa berada dalam keadaan kritikal dan masih mencederakan dirinya sendiri sehingga perbicaraan berlangsung.
Tegasnya, hukuman yang dijatuhkan perlu memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak akan berkompromi terhadap kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak, selain mencerminkan kepentingan awam dan menjadi pengajaran kepada orang ramai.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan seorang saksi.






