Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SUKMA XXII : Sabah hampir pasti tempah tiket ke suku akhir Bola Sepak

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU : Sabah semakin hampir mengesahkan tempat ke suku akhir acara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menewaskan seteru tradisi Borneo, Sarawak, 2-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, petang tadi.

Kemenangan penting itu menghidupkan semula peluang skuad muda Sabah selepas tewas tipis 1-0 kepada antara pasukan pilihan kejohanan, Terengganu, pada perlawanan pembukaan Selasa lalu.

Memerlukan keputusan positif untuk terus bersaing merebut tiket ke pusingan kalah mati, anak buah Mohd Faisal Ahmad mempamerkan aksi berdisiplin sebelum berjaya memecah kebuntuan menjelang tamat babak pertama.

Emerson Ambatik Ayub muncul pencetus semangat Sabah apabila meledakkan gol pembukaan pada minit ke-45 untuk membawa pasukan itu mendahului 1-0 sebelum rehat.

Memasuki babak kedua, Sarawak yang turun memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang mereka cuba meningkatkan tekanan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya, namun pertahanan Sabah kekal ampuh menyerap asakan lawan.

Sabah terus mengawal tempo permainan dan hampir menggandakan jaringan menerusi beberapa gerakan pantas sebelum Muhamad Iqmal Amran memastikan kemenangan pasukan apabila meledak gol kedua pada minit ke-90+1.

Keputusan 2-0 itu membolehkan Sabah mengumpul tiga mata dan kini berkongsi mata dengan Terengganu di tangga teratas kumpulan, manakala Sarawak masih gagal mengutip sebarang mata selepas perlawanan pertama mereka.

Bagaimanapun, Sabah yang telah melengkapkan semua aksi peringkat kumpulan kini perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir antara Terengganu dan Sarawak pada Sabtu ini bagi menentukan kedudukan akhir kumpulan.

Berdasarkan situasi semasa, Sabah berada dalam kedudukan terbaik untuk mara ke suku akhir.

Sarawak perlu menewaskan Terengganu dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol untuk memintas Sabah menerusi perbezaan jaringan dan merampas slot ke pusingan seterusnya.

Sekiranya Sarawak gagal mencapai keputusan tersebut, Sabah akan mengesahkan kemaraan ke suku akhir dan meneruskan cabaran memburu pingat dalam acara bola sepak lelaki. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE