Read Time:1 Minute, 40 Second
KOTA KINABALU: Stadium Likas sekali lagi diberi kepercayaan menjadi venue Pusingan Kelayakan Kumpulan A AFC Women’s Champions League 2026 yang akan berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos depan, sekali gus mengukuhkan reputasi Sabah sebagai penganjur kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata, kejohanan itu akan membabitkan empat pasukan iaitu East Bengal FC dari India, Sabah FA selaku wakil Malaysia, Rovers FC dari Guam dan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh.
Beliau berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah buat kali kedua selepas edisi 2024 merupakan satu pengiktirafan terhadap kemampuan negeri ini mengendalikan kejohanan di bawah kendalian Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Pemilihan Sabah buat kali kedua merupakan satu penghormatan dan kepercayaan kepada SAFA serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran kejohanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan baik.
“SAFA akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan memastikan segala aspek persediaan, termasuk venue pertandingan, logistik, keselamatan serta keperluan pasukan dan pegawai kejohanan diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Persediaan Pengelolaan AFC Women’s Champions League 2026 – Preliminary Stage yang diadakan di pejabat SAFA di sini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang dan turut dihadiri tiga pegawai daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyelaras segala aspek persediaan menjelang kejohanan itu.
Shamsuddin berkata, penganjuran kejohanan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan menyaksikan aksi terbaik bola sepak wanita Asia, malah membuka ruang kepada Sabah FA menimba pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.
Menurutnya, kejohanan itu juga mampu menjadi platform untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Beliau berharap penyokong bola sepak di Sabah akan hadir beramai-ramai ke Stadium Likas bagi memberikan sokongan padu kepada Sabah FA yang membawa cabaran Malaysia dalam saingan berkenaan.
“Kami berharap penyokong bola sepak Sabah akan hadir memberikan sokongan kepada pasukan Sabah FA sepanjang kejohanan berlangsung di Stadium Likas nanti, sekali gus bersama-sama memeriahkan kejohanan yang menghimpunkan kelab-kelab terbaik bola sepak wanita di rantau Asia,” katanya.






