Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sambutan Hari Pahlawan Sabah julung kali diadakan di Masjid Negeri

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah buat julung kalinya akan diadakan di Masjid Negeri pada 31 Julai ini, selaras dengan amalan yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, sambutan yang bermula pada jam 5 petang itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan serta orang awam.

Beliau berkata, pemilihan Masjid Negeri sebagai lokasi sambutan bukan sahaja bertepatan dengan tradisi di peringkat Persekutuan, malah mampu mewujudkan suasana penghargaan yang lebih bermakna terhadap jasa dan pengorbanan para pahlawan negara.

“Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Masjid Negeri pada 31 Julai ini bermula jam 5 petang.

“Sambutan julung kali di lokasi itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta daripada pelbagai agensi dan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Selasa.

Sabin berkata, sambutan itu terbuka kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira agama.

Menurutnya, selain majlis tahlil, bacaan Yasin serta solat Maghrib dan Isyak bagi peserta beragama Islam, pengisian lain akan berlangsung di pekarangan Masjid Negeri yang boleh disertai oleh semua jemputan.

“Semua anggota sama ada beragama Islam ataupun bukan Islam juga dijemput hadir kerana selain majlis tahlil, bacaan Yasin dan solat Maghrib serta Isyak, pengisian lain akan berlangsung di pekarangan masjid sahaja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan berkenaan akan diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada para pahlawan yang akan dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka.

Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, Sabin berkata, tujuan utama rombongan adalah untuk menjemput Tun Musa menghadiri sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah.

Beliau berkata, sambutan tahunan itu menjadi platform penting untuk mengenang jasa, keberanian dan pengorbanan para pahlawan yang telah mempertahankan kedaulatan negara sama ada pada zaman dahulu mahupun pada masa kini.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin; Panglima 5 Briged Kem Lok Kawi, Brigedier Jeneral Abdul Razak Harun; Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Abdul Manap Abdul Rubim; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Karim Rahim; serta Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) DBKK, Faradillah Abdul Rani.

LEAVE A RESPONSE