Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS perluas inovasi STEM menerusi kolaborasi industri

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperluas peranannya dalam pembangunan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi kolaborasi bersama industri bagi membangunkan kit modul pendidikan STEM untuk kegunaan sekolah.

Perjanjian kolaborasi bertajuk ‘Kajian Modul Sistem Pencahayaan Lestari Berkuasa Sendiri Tanpa Bateri Dikuasakan Tenaga Haba untuk Kit Modul Pendidikan STEM Sabah’ itu ditandatangani antara UMS, Technology Depository Agency Berhad (TDA) dan Seni Gemilang Sdn. Bhd.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, majlis itu bukan sekadar menyaksikan pemeteraian perjanjian, malah melambangkan komitmen bersama antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi dalam penyelidikan, inovasi serta pemindahan teknologi.

Katanya Program Kolaborasi Industri yang diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan sokongan Kementerian Kewangan menunjukkan gabungan kepakaran pelbagai pihak dapat menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada pembangunan modal insan dan kemajuan teknologi.

Menurut beliau, projek tersebut bertujuan membangunkan alat bantu mengajar STEM berkaitan teknologi penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga haba sebagai sumber alternatif.

”Kejayaan pelancaran Kit STEM hasil penyelidikan ini membuktikan kolaborasi strategik itu mampu menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Pendidikan STEM bukan sekadar bertujuan melahirkan saintis, jurutera atau penyelidik, tetapi membentuk generasi yang berfikiran kritis, inovatif dan berupaya menghasilkan penyelesaian kepada cabaran dunia sebenar.

“Pendedahan awal melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan berasaskan pengalaman akan membantu menyemai minat murid terhadap sains dan teknologi,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FKJ, Profesor Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser.

Tambah Kasim kumpulan penyelidik High Voltage Power Energy Research (HIPER) daripada Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, bersama Sekolah Kebangsaan Melikai, Menumbok berjaya membangunkan modul STEM bertajuk ‘Pencahayaan Berkuasa Sendiri Berasaskan Aliran Tenaga Haba.’

Menurutnya, pembangunan modul tersebut mencerminkan keupayaan penyelidik UMS dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada bahan pembelajaran yang praktikal dan mudah difahami oleh murid sekolah.

“Melalui pendekatan pembelajaran secara hands-on, murid berpeluang memahami bagaimana tenaga haba boleh ditukarkan kepada tenaga elektrik menggunakan prinsip termoelektrik, sekali gus meningkatkan minat terhadap STEM serta menyemai kesedaran mengenai kepentingan tenaga lestari dan teknologi hijau,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama antara kerajaan, industri dan universiti itu dapat diteruskan bagi menghasilkan lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dalam bidang penyelidikan serta pembangunan teknologi pada masa hadapan.

LEAVE A RESPONSE