Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah : Lapan atlet diangkat ikon sukan Sabah

Read Time:2 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU :  Seramai lapan atlet yang mengharumkan nama Sabah dan negara di pentas kebangsaan serta antarabangsa diangkat sebagai ikon sukan negeri hasil kejayaan cemerlang yang dicapai dalam bidang masing-masing.

Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh Sandhu berkata, kejayaan mereka membuktikan program pembangunan atlet menerusi Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berjaya melahirkan bakat sukan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Beliau berkata, atlet berkenaan bukan sahaja menjadi kebanggaan Sabah, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.

“Lapan atlet ini membuktikan bahawa pembangunan sukan di peringkat akar umbi mampu melahirkan atlet bertaraf dunia yang membawa nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Thien Ching Qiang (Tanjung Papar-Warisan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.

Anil berkata, antara atlet yang diangkat sebagai ikon ialah Eddy Bernard, yang mencipta sejarah sebagai atlet Sabah pertama memenangi pingat di temasya Paralimpik menerusi pingat gangsa acara 100 meter di Paralimpik Paris 2024.

Turut tersenarai ialah Nor Farah Mazlan, yang mencipta nama dalam sukan pencak silat selepas muncul juara Sukan SEA 2023 di Kemboja, juara Asia 2023 di Dubai dan juara dunia 2024 di Abu Dhabi, selain dinobatkan sebagai Olahragawati Negeri Sabah bagi tahun 2023–2024.

Dalam sukan pelayaran, Muhammad Asnawi Iqbal Adam terus membanggakan negeri apabila meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2023 dan Sukan Asia 2024 di Hangzhou, selain memenangi pingat emas pada SUKMA XXI Sarawak 2024 serta diiktiraf sebagai Olahragawan Negeri Sabah 2023–2024.

Beliau berkata, atlet para lompat jauh kategori T12, Wong Kar Gee, turut menjadi kebanggaan negeri selepas mewakili Malaysia pada Paralimpik Tokyo 2020 dan Paralimpik Paris 2024, selain memenangi pingat perak di Dubai pada 2019 dan pingat gangsa di Kejohanan Dunia Para Olahraga di Kobe, Jepun.

Dalam acara olahraga, Andre Anura Anuar mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama melepasi lompatan sejauh lebih lapan meter, selain memegang rekod kebangsaan 8.02 meter dan memenangi pingat emas Sukan SEA dalam acara lompat jauh serta lompat kijang.

Sementara itu, Brenda Anellia Larry terus menyerlah dalam sukan para renang apabila meraih pingat emas acara 150 meter Individual Medley SM4 pada Para Swimming World Series Singapura 2023 dan pingat perak acara 100 meter kuak dada SB4 pada ASEAN Para Games Kemboja 2023.

Dalam kategori para renang, Abdul Halim Mohammad mencatat pencapaian membanggakan apabila memenangi lima pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa pada Para ASEAN 2025 di Thailand, selain dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia oleh Majlis Paralimpik Malaysia.

Seorang lagi atlet muda yang semakin menyerlah ialah Ivan Jovic Suan, yang memenangi tiga pingat emas berserta rekod baharu pada Para ASEAN 2025 di Thailand, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara prospek terbaik negara dalam sukan para olahraga.

Beliau berkata, kejayaan lapan atlet tersebut membuktikan pelaburan berterusan kerajaan negeri dalam pembangunan sukan melalui penyediaan kemudahan latihan, bantuan kewangan, peralatan sukan dan insentif kepada atlet telah membuahkan hasil.

“Kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan sukan bagi memastikan lebih ramai atlet Sabah mampu melakar kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya.

LEAVE A RESPONSE