Read Time:2 Minute, 36 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menolak dakwaan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penukaran deposit tetap kerajaan negeri berjumlah RM200 juta di Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares, RPS) merupakan satu tindakan “bailout”.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Ishak Ayub, berkata kerajaan tidak menyuntik dana baharu ke dalam SDBank kerana wang RM200 juta itu sememangnya telah didepositkan di bank berkenaan.
Beliau berkata, penukaran deposit kepada RPS bertujuan memperkukuh asas modal SDBank, selain membolehkan kerajaan negeri menerima pulangan dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus atau kira-kira RM6.3 juta setahun.
“SDBank dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Membiarkan bank itu gagal akan mendedahkan kerajaan kepada kira-kira RM3 bilion dalam bentuk bon tertunggak dan liabiliti lain.
“Pilihan yang ada adalah memperkukuh bank menggunakan dana yang sememangnya telah berada dalam SDBank atau berdepan risiko menanggung beban kewangan yang jauh lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, langkah itu bukan satu “bailout”, sebaliknya merupakan pengurusan risiko kewangan yang berhemat dan bertanggungjawab.
Mohd Ishak berkata, sejak separuh kedua 2023, lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDBank telah melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk menangani kelemahan tadbir urus, mengiktiraf kemerosotan nilai aset legasi serta melaksanakan program transformasi menyeluruh.
Katanya, walaupun langkah berkenaan memberi kesan kepada prestasi kewangan dalam jangka pendek, ia berjaya meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memberikan gambaran sebenar kedudukan kewangan bank.
Beliau turut memaklumkan instrumen hutang SDBank masih mengekalkan penarafan AA1/Stable/P1 daripada RAM Ratings, yang mencerminkan keyakinan terhadap kepentingan strategik bank, sokongan kerajaan negeri serta keupayaannya memenuhi obligasi kewangan sepanjang proses pemulihan.
Mengulas prestasi kutipan Pinjaman Tidak Berbayar (NPL), beliau berkata sepanjang dua tahun pentadbiran Mohd Shafie, kutipan tunai hanya berjumlah RM260 juta.
Sebaliknya, katanya, sejak Julai 2023, pengurusan semasa berjaya memperoleh semula kira-kira RM3.3 bilion secara tunai walaupun mewarisi portfolio NPL legasi yang besar.
Dalam perkembangan sama, Mohd Ishak turut menolak dakwaan bahawa Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) menerima “bailout”.
Beliau berkata, menerusi penstrukturan semula yang berdisiplin termasuk penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM900 juta serta pemindahan 10 peratus kepentingan ekuiti SIP dalam LNG9 kepada SMJ Energy, syarikat itu kini bebas daripada hutang dan mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh.
Katanya, SIP juga memperoleh jaminan aliran hasil untuk tempoh 10 tahun lagi melalui lanjutan asetnya di Indonesia.
“Ini bukan ‘bailout’, sebaliknya penstrukturan semula yang berjaya memelihara aset strategik negeri, memulihkan kemampanan kewangan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sabah,” katanya.
Mohd Ishak turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding kepentingan rakyat.
Beliau berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan menyediakan peruntukan besar bagi pelaksanaan projek loji rawatan air, rumah pam, jalan raya, jambatan, bekalan air luar bandar, perumahan, pendidikan dan kebajikan.
“Tiada pihak swasta yang mendapat manfaat. SDBank, SIP dan SMJ Energy dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi melindungi kedudukan kewangan negeri, memelihara aset strategik serta menjamin kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.
Katanya, walaupun Mohd Shafie berhak mempersoalkan keputusan kerajaan, perbahasan awam perlu berasaskan fakta dan bukannya dakwaan yang mengelirukan tanpa menawarkan dasar alternatif yang lebih berwibawa.






