Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah: Roger Chin sokong RUU Mahkamah Anak Negeri 2026, gesa bidang kuasa diperjelas

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 akan memperkukuh sistem keadilan adat Sabah menerusi pemodenan Mahkamah Anak Negeri serta peluasan bidang kuasanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Roger Chin, berkata RUU itu bukan sekadar menggantikan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992, malah menjadi langkah penting dalam memperkukuh pentadbiran Undang-Undang Adat Anak Negeri untuk generasi akan datang.

“RUU ini jauh lebih daripada sekadar menggantikan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992. Secara keseluruhannya, pembaharuan ini menunjukkan bahawa kerajaan melihat usaha ini bukan sekadar semakan pentadbiran, sebaliknya sebagai usaha serius untuk memperkukuh asas institusi yang akan mentadbir Undang-Undang Adat Anak Negeri bagi generasi akan datang,” katanya ketika membahaskan RUU itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata, RUU itu mewujudkan struktur baharu yang merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.

Katanya, RUU itu turut memperkukuh pelantikan hakim, mewujudkan jawatan Ketua Hakim dan Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri, memperkenalkan Peguam Mahkamah Anak Negeri, Pendaftar dan Penatua, selain memperluaskan bidang kuasa serta memodenkan tatacara mahkamah.

Roger berkata, RUU itu penting kerana bukan sahaja menambah baik Mahkamah Anak Negeri, malah mengukuhkan kedudukan Undang-Undang Adat Anak Negeri dalam sistem perundangan Sabah.

Beliau juga menggesa kerajaan memperjelaskan bidang kuasa antara Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Syariah, khususnya bagi kes yang melibatkan Undang-Undang Adat Anak Negeri dan undang-undang diri Islam.

Menurutnya, penjelasan yang lebih jelas akan membantu mengelakkan kekeliruan apabila sesuatu kes melibatkan kedua-dua sistem perundangan itu, selain mencadangkan kerajaan meneruskan perbincangan mengenainya pada masa hadapan.

Beliau berkata, sumbangan terbesar RUU itu ialah mengiktiraf Undang-Undang Adat Anak Negeri sebagai undang-undang yang hidup dan wajar disokong oleh institusi moden, hakim yang profesional serta pembangunan perundangan yang berterusan.

“Atas alasan itu, saya menyokong Rang Undang-Undang Mahkamah Anak Negeri 2026,” katanya.

LEAVE A RESPONSE