Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Shafie persoal penukaran FD kepada RPS dalam SDB

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Penukaran Deposit Tetap (FD) kerajaan negeri berjumlah RM200 juta kepada Redeemable Preference Shares (RPS) dalam Sabah Development Bank (SDB) menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar langkah itu, kata Ketua Pembangkang Sabah yang juga Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu berkata, penjelasan kerajaan bahawa langkah berkenaan hanyalah satu amalan perakaunan tidak menjawab persoalan mengapa dana yang sebelum ini boleh dikeluarkan untuk kegunaan kerajaan kini ditukarkan kepada instrumen modal dalam SDB.

Menurutnya, jika SDB berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh, kerajaan perlu menjelaskan mengapa penukaran itu perlu dilakukan dan sama ada bank milik kerajaan negeri itu sedang berdepan masalah kecairan (liquidity).

Shafie turut mengaitkan langkah berkenaan dengan penstrukturan Sabah International Petroleum (SIP) dan SDB pada Oktober 2023 yang menurutnya turut melibatkan penggunaan dana awam.

Beliau berkata, tindakan menukar FD kepada RPS menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sedang menggunakan dana awam untuk menyelamatkan (bailout) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jika benar ini bukan satu bailout, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat bailout untuk apa dan bailout untuk siapa,” katanya pada sidang media di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya, rakyat Sabah berhak mengetahui mengapa wang awam terus digunakan untuk memperkukuhkan GLC ketika pelbagai isu asas seperti bekalan air, jalan raya dan kos sara hidup masih belum dapat diselesaikan.

Beliau turut mempersoalkan sehingga bila dana rakyat akan terus digunakan untuk membantu GLC sedangkan masih banyak keperluan rakyat yang memerlukan perhatian.

Bagi menggambarkan pendiriannya, Shafie menggunakan analogi sebuah keluarga.

“Kalau diibaratkan sebuah keluarga, Kerajaan Sabah ialah datuk, SDB ialah anak, SIP ialah cucu dan rakyat ialah ahli keluarga yang lain.

“Semalam datuk membantu cucu pada Oktober 2023, hari ini datuk membantu anak pula. Persoalannya, sampai bila wang keluarga akan terus digunakan untuk membantu ahli keluarga sendiri, sedangkan seluruh keluarga masih memerlukan perhatian?” katanya.

LEAVE A RESPONSE