Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SEDCO perkukuh libat urus komuniti bagi pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat

Read Time:2 Minute, 40 Second

KUDAT: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) memperkukuh komitmennya untuk memastikan cadangan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat (KBEIP) dirancang secara inklusif menerusi siri sesi libat urus komuniti dan lawatan tapak yang diadakan di Kampung Limau-Limauan pada 15 hingga 16 Julai lalu.

Sesi berkenaan diadakan bagi mendapatkan pandangan, aspirasi dan maklum balas masyarakat setempat sebelum Pelan Induk KBEIP dimuktamadkan.

SEDCO diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan Pelan Induk KBEIP di kawasan seluas kira-kira 1,205 ekar tanah miliknya, yang disasarkan menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi di utara Sabah tanpa mengabaikan pemeliharaan alam sekitar serta warisan budaya Kudat.

Program yang diselaraskan bersama Pejabat Daerah Kudat itu menghimpunkan penduduk dan pemimpin komuniti Kampung Limau-Limauan, ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Kudat (JTPDK), serta wakil Parlimen Kudat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, Tanjong Kapor dan Matunggong.

Delegasi SEDCO diketuai Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, bersama Pengurus Besar Kumpulan, Datuk Ar. James Wong Kein Peng, dan Timbalan Pengurus Besar Kumpulan, Azrul Ahmad.

Turut hadir Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin, serta wakil daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Sepanjang sesi itu, masyarakat tempatan menyuarakan pandangan mengenai pelbagai aspek termasuk isu tanah, infrastruktur, utiliti, perlindungan alam sekitar, sektor perikanan, pemuliharaan hutan bakau, peluang pekerjaan serta penyertaan usahawan tempatan dalam aktiviti ekonomi yang bakal diwujudkan.

SEDCO menegaskan setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan akan diambil kira bagi memperhalusi Pelan Induk KBEIP agar pembangunan yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan serta aspirasi masyarakat setempat.

Sekiranya dilaksanakan, KBEIP dijangka menjadi pemangkin transformasi ekonomi mampan menerusi tarikan pelaburan domestik dan antarabangsa, penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pembukaan peluang perniagaan baharu, pembangunan kemahiran serta pengukuhan industri tempatan di Kudat, Banggi, Kota Marudu dan Pitas.

SEDCO turut menyasarkan KBEIP sebagai sebuah ekosistem perindustrian yang membolehkan komuniti tempatan menjadi rakan strategik dalam pembangunan melalui penyertaan dalam sektor pembinaan, logistik, perkhidmatan marin, pengeluaran makanan, penyelenggaraan, hospitaliti dan pelbagai industri sokongan.

Masiung berkata, kejayaan sesebuah pembangunan tidak boleh diukur hanya berdasarkan nilai pelaburan atau infrastruktur yang dibina, sebaliknya melalui manfaat yang dinikmati rakyat.

“Kejayaan KBEIP tidak ditentukan oleh bangunan yang dibina, tetapi oleh kepercayaan yang berjaya kita bina bersama masyarakat. Matlamat kami adalah memastikan kemajuan ekonomi bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar, keterangkuman sosial serta peluang yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, SEDCO akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat Kudat sepanjang proses perancangan kerana pembangunan jangka panjang hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama, ketelusan dan saling menghormati.

Kajian Pelan Induk KBEIP kini berjalan lebih awal daripada jadual dan telah memasuki peringkat interim. Kajian itu dijangka siap sebelum penghujung tahun ini sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan.

Dalam usaha memperkasa usahawan Bumiputera, SEDCO turut memaklumkan hasrat untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan yang layak di Kudat dan kawasan sekitar KBEIP menerusi inisiatif Tabung Usahawan Bumiputera yang bakal diperkenalkan.

Menerusi inisiatif itu, SEDCO bercadang memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan bersih tahunannya bagi menyokong pembangunan keusahawanan, sekali gus membantu usahawan tempatan meningkatkan keupayaan dan merebut peluang ekonomi yang bakal diwujudkan.

SEDCO menegaskan suara masyarakat akan terus menjadi asas kepada setiap peringkat pembangunan KBEIP bagi memastikan projek itu bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, malah dilaksanakan secara mampan, mesra alam dan memberi manfaat kepada generasi Sabah pada masa hadapan.

LEAVE A RESPONSE