Read Time:1 Minute, 22 Second
PENAMPANG: Polis Daerah Penampang menafikan kesahihan satu infografik bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” yang tular di pelbagai platform media sosial sejak hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata infografik berkenaan adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, infografik itu menggunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian serta memaparkan gambar dan maklumat individu tanpa kebenaran dengan tujuan mengelirukan orang ramai.
“Perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu seperti ini adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan nama baik individu yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekeliruan, salah faham, kerosakan reputasi atau implikasi lain yang timbul akibat penyebaran infografik palsu tersebut.
Sehubungan itu, polis memberi amaran bahawa mana-mana individu yang didapati terbabit dalam penerbitan atau penyebaran kandungan berkenaan boleh disiasat dan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Antara peruntukan yang boleh digunakan ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi penyebaran kandungan palsu atau jelik.
Selain itu, Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] juga boleh dikuatkuasakan sekiranya penyebaran tersebut melibatkan gambar, identiti atau maklumat kanak-kanak yang dilindungi di bawah undang-undang.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
Menurut Sammy, sebarang maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis hanya akan disalurkan menerusi saluran komunikasi rasmi PDRM.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu itu supaya menyalurkannya kepada IPD Penampang bagi membantu siasatan.






