Read Time:1 Minute, 33 Second
KOTA KINABALU : Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengambil perhatian serius terhadap insiden pergaduhan yang melibatkan beberapa murid di luar kawasan sekolah di daerah Tawau seperti tular di media sosial semalam.
JPN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti murid yang terlibat serta menjalankan siasatan dalaman bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
“Insiden ini sedang dalam siasatan pihak Polis dan JPN Sabah memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan.
“Walaupun kejadian berlaku di luar sekolah, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan murid dipandang serius. Tingkah laku sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.
JPN Sabah tidak akan berkompromi dengan insiden salah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap murid yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa.
Terdahulu, lapan pelajar lelaki direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Perintah reman sehingga 17 Julai itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau, pada Rabu, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah, polis menerima maklumat mengenai satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dengan seorang lelaki di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas.
Dalam kejadian itu, lelaki tersebut dipercayai menggunakan topi keledar sebagai senjata ketika pergaduhan berlaku.
Susulan kejadian itu, sepasukan polis menahan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun kira-kira jam 3 petang semalam bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai tercetus susulan perselisihan berkaitan dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi AI. – SABAH MEDIA






