Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

CULT 2025 cipta fenomena, angkat Sabah sebagai hab pelancongan gaya hidup moden

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU :  Acara automotif dan gaya hidup tempatan ‘Cars and Urban Lifestyle Trend’ (CULT) terus mencipta fenomena tersendiri apabila edisi tahun ini berjaya menarik lebih 400 penyertaan dari seluruh Malaysia, termasuk Brunei Darussalam dan Sarawak.

Bertempat di Merdeka Grand Mall, pertunjukan kereta tahunan yang kini memasuki tahun kelima itu bukan sekadar menampilkan keunikan dunia automotif, malah menjadi pemangkin kepada gelombang baharu pelancongan bandar di Sabah.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, kejayaan CULT membuktikan bahawa Sabah bukan hanya destinasi alam semula jadi semata-mata, tetapi juga mampu tampil sebagai hab pelancongan gaya hidup yang kreatif dan progresif.

“CULT memperlihatkan sisi Sabah yang moden, meraikan inovasi, reka bentuk dan komuniti menerusi platform kontemporari yang penuh pengalaman,” katanya ketika merasmikan acara tersebut di sini baru-baru ini.

Menurut Joniston, pelancongan bandar merupakan elemen penting dalam memperkaya tarikan pelancongan negeri. Acara seperti CULT, katanya, membawa kesan limpahan positif kepada ekonomi tempatan — termasuk hotel, bengkel, gerai makanan dan usahawan kecil.

“Lebih penting, ia memberi inspirasi kepada golongan muda dan usahawan untuk menyertai rantaian nilai pelancongan. Kehadiran pengunjung dari luar Sabah membuktikan potensi acara ini dalam menembusi pasaran baharu,” katanya.

Edisi kali ini turut menonjolkan kerjasama erat antara pemain industri kreatif, penganjur acara dan penaja utama seperti YONO eWallet, simbolik kepada peranan inovasi digital dalam menyokong pertumbuhan sektor pelancongan.

Joniston menyuarakan harapan agar CULT terus mengorak langkah ke pentas antarabangsa dan menjadi acara tahunan berimpak tinggi yang dibanggakan rakyat Sabah. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE