Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Inkues Zara: Saksi ke-76 tidak dibenar teruskan keterangan, testimoni kekal dalam rekod

Read Time:3 Minute, 44 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini tidak membenarkan Dr Noor Aishah Rosli meneruskan keterangannya sebagai saksi pakar dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun, keterangan saksi ke-76 itu sebagai Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar yang diberikan di mahkamah sejak Isnin, termasuk laporan beliau yang ditandakan sebagai Eksibit I-299, dikekalkan dalam rekod prosiding.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah lisan daripada semua pihak yang terbabit dalam inkues itu pada pagi tadi.

“Bantahan yang dibangkitkan oleh Pegawai Pengendali inkues diterima sebahagiannya.

“Dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan kelayakan akademik atau pengalaman empirikal beliau, saksi ke-76 tidak dibenarkan meneruskan pemberian pendapat pakar dalam inkues ini.

“Keterangan lisan dan keterangan dokument yang telah dikemukakan oleh saksi ke-76, termasuk Eksibit I-299, hendaklah dikekalkan dalam rekod prosiding,” katanya.

Koroner berkata, status undang-undang Eksibit I-299, sama ada ia akan diterima sebagai pendapat pakar, dihadkan kepada naratif fakta atau ditolak sepenuhnya, serta nilai pembuktian yang akan diberikan kepada keterangan saksi itu, akan diputuskan kemudian.

“Perkara-perkara ini akan tertakluk kepada analisis akhir dan, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hujahan lanjut daripada semua pihak berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan pada penutupan inkues,” katanya.

Terdahulu, Koroner menjelaskan bahawa Pegawai Pengendali inkues, Nahra Dollah, berhujah bahawa bantahan itu bukan bertujuan mempertikaikan kredibiliti atau nilai pendapat yang diberikan oleh saksi ke-76.

Sebaliknya, katanya, bantahan itu membangkitkan persoalan asas dari sudut undang-undang, iaitu sama ada seseorang yang dilarang oleh undang-undang daripada mengamalkan sesuatu profesion boleh diiktiraf sebagai saksi pakar dalam bidang yang sama di hadapan mahkamah, khususnya di bawah Akta 774.

Koroner berkata mahkamah perlu mengimbangi dua kerangka perundangan yang berbeza, iaitu Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 yang mengawal kebolehterimaan pendapat pakar berdasarkan kemahiran khusus seseorang saksi, dan Akta 774, iaitu undang-undang khusus yang digubal Parlimen bagi mengawal selia standard profesion serta menjadikan amalan tanpa kebenaran sebagai suatu kesalahan.

“Sehubungan itu, setakat penyertaan saksi ke-76 dalam inkues ini, mahkamah bersetuju sebahagiannya dengan hujahan Pegawai Pengendali dan peguam Datuk Ram Singh.

“Saksi ke-76 tidak boleh dibenarkan meneruskan peranannya sebagai saksi pakar yang aktif dalam prosiding ini.

“Membenarkan beliau meneruskan keterangan akan menimbulkan persepsi yang boleh mencemarkan pentadbiran keadilan kerana ia seolah-olah merestui ketidakpatuhan terhadap larangan jelas yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, timbul satu persoalan berasingan berhubung keterangan yang telah pun direkodkan, khususnya keterangan lisan saksi itu serta laporannya yang ditandakan sebagai Eksibit I-299.

“Mahkamah menyedari bahawa inkues merupakan suatu prosiding yang bersifat sui generis, iaitu proses penyiasatan khas yang bertujuan semata-mata untuk mencari kebenaran.

“Oleh itu, daripada memadamkan keterangan yang telah direkodkan, pada pandangan mahkamah, pendekatan yang paling wajar ialah mengekalkan rekod sedia ada dan menangguhkan keputusan mengenai kebolehterimaan serta nilai pembuktian muktamadnya sehingga akhir inkues.

“Sudah tentu, perkara ini tertakluk kepada keseluruhan keterangan lain yang dikemukakan sepanjang inkues serta hujahan penutup semua pihak,” katanya.

Noor Aishah merupakan saksi yang dipanggil oleh pasukan peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.

Kelmarin, saksi berusia 51 tahun itu mengakui beliau berdaftar dengan Lembaga Kaunselor, namun tidak berdaftar sebagai Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Nahra membantah Noor Aishah daripada meneruskan keterangan sebagai saksi pakar. Beliau antara lain berhujah bahawa saksi itu gagal memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah akta berkenaan untuk terus memberikan keterangan pakar, justeru keterangannya wajar ditolak.

Peguam yang mewakili ibu dan bapa Zara pula berhujah bahawa memandangkan inkues merupakan prosiding pencarian fakta yang bersifat bukan adversarial, peraturan ketat mengenai keterangan perlu dilonggarkan.

Mereka berhujah bahawa di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan 1950, satu-satunya syarat ialah seseorang itu mempunyai kemahiran atau kepakaran berdasarkan pengalaman dan pengetahuan (empirical skill), justeru saksi ke-76 sepatutnya dibenarkan meneruskan dan melengkapkan keterangannya.

Sebaliknya, Datuk Ram Singh, yang mewakili Pelajar A, berhujah bahawa disebabkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang itu, Eksibit I-299 juga hendaklah ditolak sepenuhnya sebagai keterangan pakar, manakala semua pendapat lisan yang diberikan oleh saksi ke-76 atas kapasitinya sebagai pakar hendaklah diketepikan sepenuhnya.

Zara, 13, ditemui di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang diberikan nama samaran Pelajar A, Pelajar B, Pelajar C, Pelajar D dan Pelajar E didakwa atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.

Prosiding inkues akan bersambung esok dengan memanggil semula saksi ke-75.

LEAVE A RESPONSE