Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Inkues Zara: Saksi pakar tidak berdaftar

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Saksi ke-76 yang memberi keterangan dalam inkues Zara Qairina Mahathir mengakui tidak berdaftar sebagai Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar, Dr Noor Aishah Rosli, bagaimanapun menegaskan beliau mempunyai dua kelayakan, iaitu kaunselor berdaftar serta kelayakan akademik dan klinikal dalam bidang psikologi kanak-kanak.

Noor Aishah menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali, Nahra Dollah.

Nahra: Doktor nyatakan doktor adalah child clinical psychologist.
Saksi: Ya.

​Nahra: Adakah doktor merupakan seorang ahli psikologi kanak-kanak yang berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016?
Saksi: Saya ada dua kelayakan…. Saya berdaftar dengan Lembaga Kaunselor tetapi child clinical psychology itu tidak ada satu akta yang khusus. Jadi, saya ada kelayakan dari sudut akademik dan klinikal dalam bidang child clinical psychology.

Nahra: Seorang child clinical psychologist sebenarnya mesti berdaftar di bawah akta ini, doktor?
Saksi: Yang Arif, akta ini masih baru lagi. Tetapi disebabkan saya ada lesen dalam kaunselor berdaftar, maka saya boleh praktis dan juga membuat analisa tentang kanak-kanak dan juga remaja.

Nahra: Gelaran yang doktor gunakan, child clinical psychologist, mesti didaftarkan di bawah akta tersebut, doktor. And this is very important in this case.
Saksi: Yang Arif, macam saya katakan, saya di bawah Lembaga Kaunselor dan juga tertakluk kepada Lembaga Kaunselor. Dan juga dalam Lembaga Kaunselor juga kita boleh praktis dan diguna pakai kita punya statement di mahkamah dan juga penilaian dalam kalangan kanak-kanak dan juga remaja.

Nahra: Tapi, sehingga hari ini kita tidak ada bukti bahawa doktor adalah pakar psikologi kanak-kanak yang berdaftar menurut Akta Profesion 2016.
Saksi: Yang Arif, soalan sebegini juga telah dibangkitkan dalam kes-kes saya yang lain. Sudah tentulah kerana ini membabitkan kredibiliti. Tetapi macam saya katakan, saya mempunyai kepakaran dalam bidang ini melalui akademik. Saya juga ada lesen latihan klinikal psikologi daripada US.

​Nahra: Okey. Tapi doktor mengesahkan doktor bukan seorang pakar psikologi kanak-kanak yang berdaftar di bawah akta tersebut?
Saksi: Saya tidak mendaftar dengan itu, tapi saya guna pakai pendaftaran Lembaga Kaunselor yang ada.

Nahra: Doktor tahu tak ini membuktikan satu kesalahan sebenarnya? Sebab doktor telah menggunakan gelaran child clinical psychologist tanpa pendaftaran di bawah akta tersebut.
Saksi: Yang Arif, child clinical psychologist itu adalah kepakaran saya dan saya ada sijilnya.

Sementara itu, pada prosiding inkues petang tadi, Nahra membantah Noor Aishah daripada meneruskan keterangannya atas alasan beliau bukan pakar yang berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Peguam yang mewakili bapa Zara serta pasukan guaman yang mewakli pelajar A B C D dan E turut menyokong bantahan itu dengan menyatakan isu kelayakan saksi perlu diputuskan terlebih dahulu kerana boleh memberi kesan kepada status keterangannya.

Bagaimanapun, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara berhujah prosiding sepatutnya diteruskan memandangkan saksi sudah berada di pertengahan keterangannya, manakala isu sama ada beliau layak diiktiraf sebagai saksi pakar boleh diputuskan oleh mahkamah selepas semua keterangan selesai didengar.

Koroner Amir Shah kemudian mengarahkan semua pihak mengemukakan hujahan bertulis berhubung isu kelayakan Noor Aishah sebagai saksi pakar.

Mahkamah menetapkan prosiding bersambung pada jam 11.30 pagi esok bagi mendengar hujahan semua pihak sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.

LEAVE A RESPONSE