Read Time:2 Minute, 2 Second
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Letter of Intent (LoI) bersama Te Herenga Waka – Victoria University of Wellington (VUW), New Zealand, sekali gus membuka lembaran baharu ke arah kerjasama strategik yang lebih erat antara kedua-dua institusi.
LoI itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), VUW, Dr. Logan Bannister dalam satu acara sempena kunjungan rasmi delegasi UMS ke VUW, New Zealand baru-baru ini.
Menurut Kasim, pemeteraian LoI itu mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperluaskan rangkaian kerjasama antarabangsa selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing global, memperkukuh kecemerlangan penyelidikan serta meningkatkan keterlihatan UMS di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama ini bukan sekadar memperkukuh hubungan antara dua institusi, malah membuka ruang kepada perkongsian ilmu, kepakaran dan inovasi yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan pendidikan tinggi serta manfaat kepada mahasiswa, penyelidik dan masyarakat di kedua-dua negara,” katanya.
Pemeteraian LoI tersebut menjadi asas kepada pembangunan kerjasama yang lebih menyeluruh dan mampan antara kedua-dua institusi, merangkumi mobiliti dan pertukaran pelajar, pertukaran staf akademik, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, latihan industri, pembangunan kurikulum, program pembangunan profesional serta aktiviti akademik lain yang memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi.

Kerjasama tersebut turut memanfaatkan kekuatan dan kepakaran yang dimiliki oleh kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang strategik.
UMS mempunyai kepakaran dalam penyelidikan biodiversiti tropika, sains marin, kelestarian, ekonomi, perniagaan, pendidikan, sains sosial serta pembangunan komuniti, manakala VUW diiktiraf dalam bidang dasar awam, perniagaan dan kerajaan, undang-undang, sains, kejuruteraan, penyelidikan antarabangsa serta jaringan akademik global.
Gabungan kepakaran itu diyakini mampu mewujudkan lebih banyak peluang penyelidikan rentas negara yang memberi impak kepada pembangunan serantau dan antarabangsa.
Turut hadir pada majlis itu ialah Chairholder of Malaysian Studies, VUW, Profesor Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid; Counsellor (Training and Culture), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Nadzatul Hilmi Abdullah; Education Attaché, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Abdul Hafiz Ampuan Tajudin; serta Pengarah Pejabat Canselori UMS, Hasmi Hashim.
Delegasi VUW pula dianggotai Penolong Pengarah, Global Engagement, Djhoanna Lambert; Senior International Recruitment Manager (Southeast Asia and Japan, New Zealand and Australia), Roger Armstrong; Coordinator, Global Engagement/Visit Coordinator, Nabilah Faridz; Pengarah Pejabat Penyelidikan, Liz Prendergast; Senior Strategic Partner, Research Office, Katy Miller; serta International Adviser (Research), Talia Crockett.
Pemeteraian LoI itu diharap menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama yang mampu memperkukuh kedudukan UMS sebagai universiti berorientasikan global, di samping memperluas jaringan kerjasama akademik antara Malaysia dan New Zealand.






