Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

STB susun semula strategi, perkukuh kerjasama industri hadapi Visit Sabah 2027

Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU : Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang menyusun semula pendekatan strategiknya bagi tahun hadapan dengan memberi keutamaan kepada kerjasama lebih erat bersama pemain industri bagi memastikan pasaran kekal relevan, produk pelancongan terus berinovasi dan pertumbuhan sektor itu dapat dikekalkan secara mampan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, sesi libat urus secara berkala bersama pemain industri amat penting bagi memastikan semua inisiatif sempena Visit Sabah 2027 (VS2027) dan seterusnya dilaksanakan secara praktikal, berfokus serta responsif terhadap perubahan pesat trend pasaran pelancongan global.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Libat Urus Kluster STB: Cadangan Strategi dan Inisiatif 2027, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, prestasi sektor pelancongan Sabah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini membuktikan hasil usaha bersama semua pihak berkepentingan dalam industri pelancongan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian tersebut tidak seharusnya menyebabkan pemain industri berasa selesa kerana persaingan dalam sektor pelancongan global semakin sengit.

“Landskap pelancongan global sedang berubah dengan persaingan antara destinasi semakin sengit, manakala pilihan dan cita rasa pelancong berubah lebih pantas berbanding sebelum ini.

“Persoalannya bukan lagi sekadar bagaimana untuk menarik lebih ramai pelancong, tetapi bagaimana kita dapat terus kekal berdaya saing dan menjadi destinasi pilihan pada masa hadapan,” katanya.

Joniston berkata, kejayaan VS2027 bergantung kepada komitmen semua pemain industri termasuk syarikat penerbangan, hotel, pengendali pelancongan serta pengusaha pelancongan berasaskan komuniti untuk menerajui pembangunan idea yang berimpak tinggi dan berdaya maju dari segi komersial.

Menurut beliau, Kerajaan Sabah akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara melalui usaha pemasaran destinasi, sokongan terhadap pembangunan infrastruktur serta penyelarasan dasar, namun sektor swasta perlu tampil sebagai pemacu utama inovasi produk pelancongan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemain industri mengetengahkan idea dan pelaburan masing-masing tanpa menganggap bantuan kewangan kerajaan sebagai syarat utama bagi melaksanakan setiap projek baharu.

Katanya, sektor swasta berada pada kedudukan terbaik untuk mengenal pasti peluang pasaran serta membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang kreatif bagi memenuhi kehendak pelancong.

“Saya menggesa sektor swasta menerajui pelaburan dan memanfaatkan kepakaran kreatif bagi membangunkan tarikan serta pengalaman baharu yang mampu memberikan alasan kukuh kepada pelancong untuk memilih Sabah dan kembali berkunjung.

“Semua inisiatif bagi tahun hadapan, khususnya di bawah VS2027, perlu mempunyai petunjuk prestasi yang jelas, boleh diukur serta mampu menjana manfaat ekonomi kepada industri pelancongan dan masyarakat setempat di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri bersama STB akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memperkukuh kerjasama ini supaya hubungan antara sektor awam dan swasta kekal cekap, berkesan dan berorientasikan hasil menjelang 2027,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta itu diyakini mampu memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama, di samping memastikan manfaat pembangunan pelancongan dapat dinikmati oleh komuniti setempat di seluruh negeri.

LEAVE A RESPONSE