Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Bekal elektrik haram di penempatan setinggan, lelaki didenda RM129,000

Read Time:2 Minute, 6 Second

Oleh J Evachel John

SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing didenda keseluruhan RM129,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah membekalkan elektrik secara haram kepada 12 rumah di sebuah penempatan setinggan.

Tertuduh, Samailah Cuba, turut mengaku bersalah atas tiga lagi pertuduhan membabitkan mengganggu pepasangan, mengambil bekalan elektrik serta memasang sambungan elektrik secara haram.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Roslinda Razali pada Rabu.

Mahkamah menjatuhkan denda RM50,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua; RM4,000 atau sebulan penjara bagi pertuduhan ketiga; serta RM25,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan keempat sekiranya gagal membayar denda.

Samailah berjaya melunaskan denda. Bagaimanapun, tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Mengikut pertuduhan pertama, Samailah didapati membekalkan elektrik secara haram melalui sambungan terus daripada tiang talian voltan rendah milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) melalui sebuah pondok stor miliknya kepada penduduk rumah-rumah setinggan sekitar Kampung Pangiran Galpam, Batu 7, Jalan Labuk tanpa memiliki lesen pengagihan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati mengganggu pepasangan milik Sabah Electricity dengan membuat penyambungan haram kepada rumah-rumah setinggan sehingga boleh membahayakan nyawa, anggota badan manusia serta menyebabkan kerosakan pada pepasangan berkenaan.

Pertuduhan ketiga pula menyatakan tertuduh secara curang mengambil bekalan elektrik melalui sambungan haram ke rumahnya sehingga menyebabkan Sabah Electricity mengalami kekurangan caj dan kerugian.

Bagi pertuduhan keempat, dia didapati memasang sambungan elektrik secara haram daripada tiang talian voltan rendah Sabah Electricity ke rumah-rumah kediaman setinggan itu tanpa kelulusan bertulis daripada pemegang lesen iaitu Sabah Electricity.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada kira-kira jam 4.45 pagi, 2 Julai lalu di Kampung Pengiran Galpam, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Andryeno Thomas.

Dalam hujah pemberatan hukuman, Andryeno memohon mahkamah mengenakan hukuman yang tegas dan setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam agar kesalahan membabitkan bekalan elektrik secara haram tidak dipandang ringan.

Beliau berkata, siasatan mendapati tertuduh bukan sekadar menggunakan bekalan elektrik secara haram untuk kegunaan sendiri, malah membekalkan elektrik kepada 12 rumah dengan mengenakan bayaran RM40 sebulan bagi setiap rumah, sekali gus menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan.

Menurutnya, aktiviti berkenaan dipercayai dijalankan lebih dua tahun, selain menggunakan pendawaian yang tidak mengikut spesifikasi keselamatan sehingga mendedahkan penduduk di kawasan setinggan yang padat kepada risiko renjatan elektrik dan kebakaran.

Beliau berkata, siasatan turut menemukan bolt cutter sepanjang 36 inci dan test pen digital, selain pemasangan unit miniature circuit breaker (MCB) serta automatic voltage regulator, yang menunjukkan tertuduh mewujudkan satu sistem agihan elektrik haram bagi membekalkan elektrik kepada beberapa rumah tanpa kebenaran.

LEAVE A RESPONSE