Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pemulihan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu perlu ikut kaedah pemuliharaan warisan

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU : Proses pemulihan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu perlu dilaksanakan mengikut kaedah pemuliharaan warisan bagi memastikan nilai sejarah dan seni bina asal bangunan berkenaan terus terpelihara.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara itu menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan bangunan berkenaan dipulihkan secara bertanggungjawab.

Beliau berkata, dewan masyarakat merupakan tapak warisan yang dilindungi, justeru kerja pemuliharaannya tidak boleh disamakan dengan kerja pembaikan bangunan biasa.

“Semua kerja perlu mematuhi Enakmen Warisan Sabah 2017 serta prinsip pemuliharaan yang bersesuaian bagi melindungi seni bina asal, integriti sejarah dan nilai warisan bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Jafry, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah melalui Majlis Warisan Sabah dan Jabatan Muzium Sabah kini bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menyelaras usaha pemulihan bangunan berkenaan.

Katanya, DBKK merupakan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap dewan masyarakat dan kini sedang mengambil tindakan berkaitan permohonan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan.

“Jabatan Muzium Sabah telah memberikan nasihat kepada DBKK berkaitan dokumentasi teknikal yang diperlukan, skop kerja serta kaedah pemulihan.

“Kos projek kemudiannya perlu ditentukan berdasarkan keperluan pemuliharaan tersebut,” katanya.

Jafry berkata, DBKK kini dalam proses memohon peruntukan yang diperlukan bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan.

Beliau pada masa sama memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengabaikan usaha untuk memulihkan bangunan bersejarah itu, sebaliknya proses berkenaan sedang diselaraskan antara agensi berkaitan.

Katanya, kerajaan memahami kebimbangan orang ramai yang mahu melihat Dewan Masyarakat Kota Kinabalu dipelihara sebagai salah satu mercu tanda penting di bandar raya berkenaan.

“Keutamaan kita bukan sekadar membaiki sebuah bangunan, tetapi memulihkannya dengan kaedah yang betul, di samping mengekalkan sejarah, karakter dan nilai warisannya untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata kementerian akan terus bekerjasama dengan Majlis Warisan Sabah, Jabatan Muzium Sabah dan DBKK bagi memudah cara proses yang diperlukan sehingga usaha pemulihan dapat dilaksanakan.

Menurutnya, pendekatan itu penting supaya sebarang kerja yang dijalankan bukan sahaja menyelesaikan masalah fizikal bangunan, malah memastikan ciri dan nilai sejarah Dewan Masyarakat terus dikekalkan.

LEAVE A RESPONSE