Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Taska berdaftar kunci keselamatan kanak-kanak

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggesa ibu bapa supaya menghantar anak ke taska berdaftar bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka, selain menekankan keperluan meningkatkan kapasiti kemudahan penjagaan awal kanak-kanak bagi memenuhi permintaan yang dijangka terus meningkat menjelang 2030.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata sehingga kini sebanyak 95 taska tidak berdaftar dikenal pasti beroperasi di seluruh negeri.

Beliau berkata, sebahagian daripada taska berkenaan sedang dalam proses mengemukakan permohonan dan menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, isu penderaan kanak-kanak perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia boleh berlaku di mana-mana, termasuk di rumah, namun taska berdaftar menawarkan lapisan perlindungan yang lebih baik menerusi pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Penyelesaian perlu dicari bagi mengenal pasti punca berlakunya penderaan, manakala langkah pencegahan perlu terus diperkukuhkan.

“Pada masa sama, ibu bapa perlu sedar bahawa menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah di 1Borneo Hypermall, di sini, pada Ahad.

Julita berkata, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di taska berdaftar kini menjadi antara elemen penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.

Katanya, pemasangan CCTV merupakan syarat wajib bagi pendaftaran taska dan semua pengusaha taska berdaftar perlu mematuhi keperluan tersebut sebagai sebahagian daripada piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Mengulas mengenai keperluan kemudahan penjagaan kanak-kanak di Sabah, Julita berkata negeri ini masih berdepan kekurangan taska berdaftar apabila hanya kira-kira 230 premis beroperasi ketika ini.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran penduduk, jumlah kanak-kanak berumur sifar hingga empat tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang 2030.

“Daripada jumlah itu, dianggarkan kira-kira 110,000 tempat di taska diperlukan bagi memenuhi permintaan penjagaan awal kanak-kanak di seluruh negeri.

“Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pengusaha taska, majikan dan masyarakat, supaya bersama-sama menyokong usaha memperluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan awal kanak-kanak yang berkualiti, selamat dan mematuhi piawaian ditetapkan.

Turut hadir Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingon.

LEAVE A RESPONSE