Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pelan Bioteknologi Sabah perkukuh tadbir urus biodiversiti, pacu bioekonomi

Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti serta memperkasa agenda bioekonomi dan bioteknologi menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034 sebagai kerangka strategik pembangunan berasaskan sains dan kelestarian.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan tindakan itu bertujuan memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara bertanggungjawab bagi menjana nilai tambah ekonomi, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta membangunkan industri bioteknologi yang mampan.

Menurutnya, pelaksanaan pelan itu turut menghubungkan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi, di samping memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari serta memberi manfaat yang adil kepada rakyat.

“Tadbir urus biodiversiti juga terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisi bagi memastikan khazanah ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, pada Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Sabah di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata tema sambutan tahun ini, “Tindakan Lokal, Impak Global”, mencerminkan komitmen Sabah dalam membuktikan bahawa tindakan di peringkat negeri mampu memberi sumbangan besar kepada agenda pemuliharaan biodiversiti dunia.

Beliau berkata Sabah terus memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menerusi pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.

Katanya, langkah itu meningkatkan keluasan TPA Sabah kepada 2.227 juta hektar atau 30.06 peratus daripada keluasan tanah negeri, sekali gus memenuhi Sasaran 3 Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman, marin dan pesisir pantai dilindungi serta diurus secara berkesan menjelang 2030.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah kekal menjadi destinasi utama penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia, khususnya menerusi Hutan DaMaI (Danum-Maliau-Imbak) yang merangkumi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Kanyon Imbak.

Menurutnya, peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri Sabah di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 membuktikan pengiktirafan terhadap Sabah sebagai pusat penyelidikan biodiversiti utama di rantau ini.

“Pelbagai penemuan penting termasuk spesies baharu, inovasi, dokumentasi habitat kritikal dan pembangunan pendekatan pemuliharaan adalah hasil penyelidikan yang dijalankan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement) pertama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Botanickel Sabah Sdn Bhd pada September 2025 sebagai satu lagi pencapaian penting dalam penyelidikan biodiversiti negeri.

Katanya, projek berkenaan menggunakan teknologi fitoekstraksi melalui tumbuhan hiperakumulator tempatan untuk mengekstrak logam nikel daripada tanah, sekali gus menyokong kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara lebih efisien.

“Projek ini dijangka memberi manfaat kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi, kontrak pertanian jangka panjang serta integrasi ekopelancongan, selain menarik minat penyelidik, pelabur dan industri antarabangsa untuk meneroka potensi bioekonomi Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji berkata Kerajaan Negeri memperkenalkan Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah sebagai pengiktirafan kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa yang memberi sumbangan besar dalam memperkaya pengetahuan saintifik berkaitan biodiversiti negeri.

Beliau berharap anugerah itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat nama Sabah di peringkat antarabangsa serta menyokong usaha berterusan dalam pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan lestari biodiversiti.

LEAVE A RESPONSE