Read Time:1 Minute, 29 Second
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi yang disyaki tidak diperakui dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.06 juta menerusi Ops V380 yang dijalankan pada 24 Jun lalu.
Menerusi kenyataan media MCMC yang dikeluarkan semalam, operasi itu menyasarkan sebuah syarikat yang dipercayai terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan MCMC.
Antara peralatan yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV). Turut dirampas bagi membantu siasatan ialah komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi.
Operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan menerusi kerjasama strategik antara MCMC dan SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku agensi pemerakuan berdaftar.
Seramai 44 pegawai terbabit dalam operasi yang dijalankan serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru.
Siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi terbabit ditawarkan dan dijual menerusi platform e-dagang, termasuk TikTok Shop dan Shopee.
Seramai lapan individu, termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung, telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
MCMC memaklumkan penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
Selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi negara.
Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran dan pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya hanya mendapatkan kelengkapan komunikasi yang telah diperakui bagi menjamin keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko gangguan terhadap rangkaian komunikasi negara.






