Read Time:1 Minute, 26 Second
KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan inisiatif baharu menerusi Jejak Warisan Kota Kinabalu (KK Heritage Trail) yang melengkapi antara aspek landskap dan agenda pembangunan bandaraya Kota Kinabalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, Jejak Warisan Kota Kinabalu menghubungkan lima lokasi warisan utama di pusat bandar.
Antaranya ialah Bangunan Mahkamah Tinggi Lama, Tugu Peringatan ANZAC, City Park, Monumen Malaysia dan Jalan Gaya.

“Pemeliharaan warisan bandar perlu bergerak seiring dengan pembangunan landskap kerana sebuah bandar raya yang berdaya huni bukan sahaja menawarkan persekitaran yang hijau dan selesa, malah mempunyai identiti yang kukuh serta sejarah yang terus dihargai dan dipelihara.
“Melalui Jejak Warisan Kota Kinabalu ini, masyarakat dan pelawat berpeluang mengenali sejarah serta perkembangan bandar raya ini dengan lebih dekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Landskap Kota Kinabalu 2026 di sini pada Sabtu.
Sabin berkata, pelaksanaan inisiatif itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi peruntukan sebanyak RM250,000.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan bagi pemasangan penanda Jejak Warisan di setiap lokasi yang dikenal pasti serta menaik taraf papan interpretasi sejarah bagi memberikan maklumat yang lebih lengkap dan menarik kepada pengunjung.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan memperkayakan pengalaman pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu, malah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara warisan sejarah bandar raya.
“Warisan yang kita miliki hari ini merupakan aset bersama yang perlu dipelihara agar dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang. Pembangunan moden tidak seharusnya menghakis nilai sejarah yang membentuk identiti Kota Kinabalu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga Kota Kinabalu supaya bersama-sama menjaga dan menghargai lokasi-lokasi warisan serta kemudahan yang disediakan, termasuk mengelakkan perbuatan vandalisme yang boleh menjejaskan nilai sejarah dan imej bandar raya.






