Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

103 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Sabah

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 103 warga asing dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di empat daerah di negeri ini bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, antara daerah terlibat termasuklah Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Tawau

Menurut kenyataan itu, operasi yang dijalankan melibatkan beberapa siri tindakan penguatkuasaan termasuk Ops Kutip, Ops Belanja, Ops Jaja, Ops Sapu, Ops Selera serta operasi bersama agensi penguatkuasaan lain.

Operasi yang dijalankan di Kota Kinabalu telah memeriksa seramai 94 individu dan menahan 32 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Daripada jumlah itu, tangkapan membabitkan 26 warga Filipina iaitu lima lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

Turut ditahan ialah seorang lelaki dewasa warga Indonesia, dua lelaki dewasa warga Pakistan serta tiga lelaki dewasa warga India.

Sementara itu di Keningau, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksanakan telah memeriksa 77 individu dan menahan 21 warga asing. Mereka terdiri daripada 15 warga Filipina iaitu tiga lelaki dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.

Bagi warga Indonesia pula, seramai enam individu ditahan melibatkan dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Di Sandakan, operasi penguatkuasaan termasuk operasi bersama agensi penguatkuasaan lain telah memeriksa 68 individu dan menahan 28 warga asing.

Tangkapan itu melibatkan 23 warga Filipina iaitu 14 lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, selain lima lelaki dewasa warga Indonesia.

Di Tawau, operasi penguatkuasaan yang dijalankan telah memeriksa 261 individu dan menahan 22 warga asing.

Mereka terdiri daripada 19 warga Filipina iaitu lapan lelaki dewasa dan 11 perempuan dewasa, manakala tiga lagi adalah warga Indonesia membabitkan dua lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa.

JIM  Sabah menegaskan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.

Orang ramai turut diingatkan agar tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Sebarang maklumat berkaitan PATI boleh disalurkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).

LEAVE A RESPONSE