Read Time:1 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU: Program Sabah Sihat 2.0 menjadi platform penting dalam menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah memperkasakan kesihatan awam serta mencegah penyakit tidak berjangkit.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraam Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata, program itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan hidup aktif dan pemilihan gaya hidup yang sihat.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program berkenaan termasuk pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan asas serta Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada pengunjung.
“Program Sabah Sihat 2.0 bertujuan membawa kesedaran kepada komuniti supaya mengamalkan kehidupan yang sihat, aktif dan sentiasa menjaga gaya hidup sihat.
“Kita turut menyediakan pelbagai pengisian termasuk pameran, pemeriksaan kesihatan asas dan Jualan Rahmah bagi memberi manfaat kepada peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sepepas merasmikan program itu di sini pada Sabtu.
Julita berkata, kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi menyertai program berkenaan, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap usaha membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, selain memperkukuh kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan agenda kesihatan awam di Sabah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan pencegahan perlu diberi keutamaan kerana ia lebih berkesan dalam mengurangkan risiko penyakit berbanding hanya bergantung kepada rawatan selepas seseorang jatuh sakit.
Katanya, amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten dan pemeriksaan kesihatan secara berkala mampu membantu mengurangkan beban penyakit dalam kalangan rakyat serta memperkukuh sistem kesihatan negeri.
“Matlamat kita ialah melahirkan masyarakat yang lebih sihat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada rawatan melalui budaya pencegahan yang berterusan,” katanya.






