LAHAD DATU: Lebih 300,000 penduduk di Lahad Datu terjejas akibat gangguan bekalan elektrik berskala besar yang melanda seluruh daerah itu bermula kira-kira jam 3 petang, semalam.
Gangguan berkenaan menjejaskan kediaman, premis perniagaan serta pejabat kerajaan di seluruh kawasan Lahad Datu dan sekitarnya.
Sabah Electricity (SE) dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan bahawa keseluruhan daerah Lahad Datu terlibat dalam gangguan bekalan elektrik tersebut, sambil memaklumkan pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta melaksanakan kerja-kerja pemulihan.
SE kemudiannya memaklumkan bahawa bekalan elektrik di seluruh kawasan Lahad Datu dan sekitarnya telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 8.40 malam.
“Sabah Electricity ingin memaklumkan bahawa bekalan elektrik di seluruh kawasan Lahad Datu dan sekitarnya telah berjaya dipulihkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
SE turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan serta proses pemulihan bekalan dijalankan.
Pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan elektrik diminta menghubungi talian hotline SE di 15444 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Punca gangguan bekalan elektrik itu masih dalam siasatan kata mereka.






