Read Time:1 Minute, 23 Second
LEDANG: Johor turut bakal menerima manfaat daripada dana berjumlah RM1.8 bilion yang akan diterima Kerajaan Persekutuan daripada Kerajaan Negeri Sarawak hasil rundingan berhubung pemulangan hak pelabuhan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran tersebut adalah hasil rundingan secara muhibah antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, melibatkan isu pengembalian hak urusan Pelabuhan Bintulu kepada negeri itu.
Menurut beliau, dana berkenaan tidak hanya akan digunakan untuk kepentingan Sarawak, sebaliknya akan dimanfaatkan oleh rakyat di seluruh negara termasuk Johor.
“Premier Sarawak, Abang Johari (Tun Openg) bersetuju untuk Kerajaan Sarawak membayar kepada Kerajaan Malaysia RM1.8 bilion.
“Saya memutuskan dan mengumumkan serta menerima cek untuk rakyat Malaysia RM1.8 bilion untuk semua negeri termasuk negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park di sini malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyelesaian isu berkenaan mengambil kira semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan.
Katanya, rundingan yang berjaya dicapai itu membuktikan bahawa hubungan erat serta pendekatan secara matang antara kedua-dua pihak mampu menghasilkan keputusan yang memberi manfaat besar kepada negara.
“Kita runding dengan baik, sebab apa boleh begitu? Kerana Kerajaan Negeri Sarawak baik dengan Kerajaan Persekutuan. Ini dia, kita runding dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian selaras dengan usaha Kerajaan Madani yang menekankan kestabilan politik, kerjasama antara kerajaan serta tadbir urus yang berkesan bagi menjamin pembangunan menyeluruh.
Sementara itu, isu berkaitan hak pelabuhan merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam kerangka MA63, yang bertujuan memperkukuh kedudukan serta hak negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.





