Read Time:1 Minute, 56 Second
RANAU: Masyarakat Islam dapat mencapai kemajuan bukan hanya sekadar dengan adanya wang ringgit yang banyak, tetapi dengan adanya semangat kepemilikan yang ada dalam diri anggota masyarakat tersebut.
Penyandang ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, semangat kepemilikan terhadap bangunan keagamaan seperti masjid dan surau membolehkan bangunan berkenaan sentiasa terjaga dan dalam keadaan baik.
Beliau turut menggalakkan para pendiri Masjid, surau serta bangunan-bangunan agama yang lain supaya berikhtiar untuk merealisasikan sesuatu pembinaan dengan mencari dana selain daripada dana bantuan dari kerajaan.
Tambah beliau, ada sesetengah masjid dan surau yang tidak diselenggara dengan baik serta didapati ada kerosakan dan kawasan tandas dalam keadaan kotor namun tidak ada pihak yang mahu memperbaikinya.
“Kenapa ini berlaku? Kerana ramai penganut agama Islam menganggap masjid dan surau itu milik kerajaan dan bukan milik masyarakat. Ada yang menunggu wakil rakyat datang dan memberikan peruntukan.
“Inilah sikap yang tidak pandai berdikari. Kita harus contohi masyarakat bukan Islam yang mendirikan bangunan atas usaha sendiri di mana mereka berusaha menjaga keceriaan serta pembaikan bangunan ibadah mereka.
“Justeru, kita juga perlu amalkan sikap seperti itu dan jangan terlalu bergantung kepada sumbangan dari pihak kerajaan, barulah ada semangat pemilikan tehadap masjid dan juga surau-surau kita,” katanya.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian semasa merasmikan Pembukaan Maahad Al Tahfiz Bayu Syahadah Kg Bitoon Ranau yang diadakan di pusat berkenaan pada hari Sabtu.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurus rumah tahfiz tersebut kerana berupaya mendirikan pusat itu hasil usaha sendiri tanpa mendapat sebarang bantuan dari kerajaan.
“Tapi inilah, bagi saya, sebagai seorang yang beragama Islam, sebenarnya cabaran yang akan membuat kita lebih dewasa, bersifat berdikari. Kita harap inisiatif serta usaha sebegini menjadi contoh dan teladan kepada yang lain,” katanya.
Masidi berharap agar semua yang terlibat dalam terbinanya Maahad Al Tahfiz Bayu Syahadah Kg Bitoon Ranau itu agar mempunyai semangat pemilikan terhadap bangunan itu dan menjaganya dengan baik.
Dalam majlis itu beliau mengumumkan bantuan sebanyak RM80,000 untuk pihak pengurusan tahfiz tersebut bagi tujuan mengkonkrit jalanan menuju ke sekolah tersebut dan juga lain-lain tujuan yang berkaitan.
Menurutnya, sumbangan tersebut telah diluluskan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat dan cuma hanya diumumkan dalam majlis itu.
Turut hadir di majlis itu, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, penyandang ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin, Pengerusi Penganjur Johnny Yundang, Pengerusi dan pemilik Tahfiz Ustaz Nazrey Johani dan lain-lain.