Read Time:2 Minute, 0 Second
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya.
Tertuduh, Adam Najmi Palalun, 53, mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang juga berusia 53 tahun di sebuah unit di Apartmen Kepayan Ridge, pada jam 11 malam, 5 April lalu.
Adam membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus pada Khamis.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan berkenaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dan isterinya bertengkar sebelum tertuduh bertindak mencekik mangsa, menumbuk kepalanya, menendang kaki mangsa dan menekan kepala wanita itu ke atas tilam sehingga menyebabkan mangsa sukar bernafas.
Mangsa mengalami kesakitan selain lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan.
Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara pasangan itu.
Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth. Tertuduh ditahan pada pada 7 April lalu susulan laporan polis yang dibuat.
Siasatan lanjut turut mendapati kejadian keganasan rumah tangga sering berulang sepanjang perkahwinan pasangan itu. Anak-anak mangsa turut menyaksikan kejadian keganasan yang dilakukan tertuduh terhadap ibu mereka sebelum ini.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan menyesal atas perbuatannya dan masih mempunyai anak yang bersekolah untuk ditanggung.
Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Sementara itu, seorang lelaki didenda RM1,600 atau penjara empat bulan kerana mencederakan seorang wanita.
Mohd Afiz Alidin, 29, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 24 tahun di kawasan tempat letak kenderaan bertentangan Plaza Wawasan, pada jam 1.30 pagi, 12 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh memukul muka, tangan dan kaki mangsa menggunakan tangannya selain menendang kaki wanita itu selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Siasatan mendapati pertikaian bermula selepas tertuduh memarahi pengadu di hadapan rakan-rakannya sehingga menyebabkan mangsa berasa malu sebelum berlaku pertengkaran.
Mangsa mengalami kecederaan pada lutut kanan selain calar pada paha dan tangan.
Tertuduh ditahan polis pada hari sama.
Peguam bela Carmen Khoo yang mewakili Mohd Afiz memohon denda yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya menyesal dan merupakan pencari nafkah tunggal yang menyara ibu serta adik perempuannya.
Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.






